MINDEF Gesa Henti Sebar Spekulasi Jawatan Strategik ATM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan memberi amaran terhadap tindakan segelintir pihak yang menyebarkan spekulasi berkaitan urusan perjawatan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara terbuka di media sosial.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu menegaskan bahawa perbuatan menularkan senarai nama pegawai kanan ATM sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat merupakan satu salah laku serius yang boleh menjejaskan kredibiliti sistem pengurusan pertahanan negara.

Menurutnya, tindakan mendahului proses rasmi bukan sahaja membuka ruang kepada tanggapan negatif, malah berisiko menurunkan moral pegawai serta mengganggu rantaian pemerintahan dalam ATM.

“Kenaikan pangkat dan pelantikan jawatan dalam ATM tertakluk kepada perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, atas nasihat Majlis Angkatan Tentera.

“Oleh itu, sebarang hebahan pramatang adalah satu bentuk ketidakhormatan terhadap institusi Diraja dan hierarki kepimpinan ATM,” katanya.

Kementerian turut mengingatkan bahawa penyebaran maklumat dalaman atau sulit secara terbuka boleh mengancam keselamatan maklumat serta kedaulatan negara.

Sehubungan itu, pihak terlibat diminta menghentikan segera sebarang perbuatan yang boleh mengeruhkan keadaan, mengelirukan orang ramai dan mencemarkan imej ATM.

Tegas kementerian, tindakan undang-undang tidak akan teragak-agak diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebarkan maklumat sulit kerajaan, termasuk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Angkatan Tentera 1972 serta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak memuat naik, mengulas atau berkongsi semula sebarang kandungan berunsur spekulasi, sebaliknya merujuk hanya kepada pengumuman rasmi yang disalurkan melalui Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles