MIC Tunggu Surat Rasmi, Sedia Jelaskan Kehadiran Kesavan Di Perhimpunan Pemuda Bersatu

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran menegaskan partinya sedia memberikan penjelasan rasmi kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kehadiran Timbalan Ketua Pemuda MIC, K. Kesavan pada Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda Bersatu semalam.

Vigneswaran berkata, pihaknya masih menunggu surat rasmi daripada BN sebagaimana dimaklumkan Zahid sebelum sebarang maklum balas diberikan.

“Kita tunggu surat rasmi terlebih dahulu. Setelah diterima, MIC akan beri penjelasan bertulis seperti yang diminta,” katanya dipetik Astro Awani.

Semalam, Kesavan mencuri perhatian apabila hadir ke perhimpunan tersebut dan dirakam bergambar mesra sambil berjabat tangan dengan Ketua Pemuda Bersatu, Muhammad Hilman Idham.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan mengesahkan kepada media bahawa parti itu memang menerima jemputan rasmi dan Kesavan hadir sebagai wakil MIC.

Bagaimanapun, Vigneswaran menjelaskan setakat ini tiada sebarang perbincangan disiplin melibatkan Kesavan dilakukan oleh kepimpinan parti.

Isu ini tercetus ketika kedudukan MIC dan MCA dalam BN menjadi perdebatan selepas kedua-dua parti itu menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pengaruh yang semakin berkurangan dalam kerajaan.

Pada Jun lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, memaklumkan 191 bahagian parti akan membincangkan masa depan mereka pada Mesyuarat Agung Tahunan Oktober ini.

MIC turut menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan mana-mana parti politik demi kelangsungan dan perkhidmatan kepada masyarakat India.

Namun, Zahid sebelum ini menegaskan bahawa pucuk pimpinan BN tidak pernah membincangkan soal keluar gabungan.

Beberapa hari lalu, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendedahkan PN sudah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan MIC dan MCA.

Sebagai rekod, MIC dan MCA merupakan antara pengasas utama BN bersama UMNO sejak awal 1970-an, selepas sebelumnya bergabung dalam Parti Perikatan.

BBerkaitan

Latest articles