MIC Sedia Tinggalkan BN, Kekal Ikrar Sokong Anwar Hingga Tamat Penggal

KUALA LUMPUR : Parti MIC memberi bayangan jelas bahawa mereka semakin hampir meninggalkan Barisan Nasional (BN), namun pada masa sama berikrar akan terus menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menegaskan parti itu tidak akan bergerak solo sekiranya keluar BN, sebaliknya hanya akan memilih gabungan baharu selepas langkah keluar koalisi yang diasaskan bersama Umno dan MCA lebih 50 tahun lalu dimuktamadkan.

Katanya, keputusan berhubung perkara itu akan ditentukan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam masa terdekat.

“Kami berada dalam dilema kerana perdana menteri tidak bersalah dalam isu ini. MIC tetap dengan keputusan menyokong Anwar untuk dua tahun lagi sehingga akhir penggal,” katanya ketika sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan MIC di Ideal Convention Centre (IDCC).

Menurutnya, para perwakilan pada perhimpunan itu sebulat suara meluluskan dua resolusi iaitu meninggalkan BN dan menyerahkan keputusan akhir kepada CWC serta presiden parti.

Beliau menegaskan keputusan itu dibuat bukan kerana permainan politik, tetapi kerana MIC sudah “bosan” dengan kedudukan mereka dalam gabungan tersebut dan mahu memperjuangkan formula kerjasama politik yang menjunjung maruah parti.

Vigneswaran turut mendedahkan bahawa beliau telah memaklumkan hasrat keluar BN kepada Anwar pada Jumaat lalu.

Namun, perdana menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan menasihatkannya agar menimbang semula memandangkan hubungan lama antara MIC dan BN.

Dalam masa sama, beliau mengakui Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih belum dimaklumkan mengenai perkara itu kerana ia dianggap sebagai urusan dalaman parti.

Mengulas kedudukan wakil rakyat parti, Vigneswaran yakin mereka dapat mempertahankan kerusi masing-masing jika MIC meninggalkan BN kerana peruntukan akta antilompat parti hanya melibatkan individu yang menukar parti, bukan parti yang menukar gabungan sokongan.

BBerkaitan

Latest articles