Mesyuarat Pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan berlangsung malam ini – Zahid

KUALA LUMPUR – Agenda merakyat berdasarkan kepada terjemahan manifesto semua gabungan parti kerajaan merupakan antara perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini malam ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tumpuan akan diberikan kepada mencari titik persamaan bagi kerajaan melaksanakan manifesto tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu, agenda tersebut merupakan salah satu kaedah bagi memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan selain daripada aktiviti politik.

“Apa yang penting, kita mahu melihat 148 Ahli Parlimen daripada parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan ini dapat mewujudkan kesatupaduan terutamanya untuk tempoh lima tahun akan datang ini.

“Dan Ahli-ahli Parlimen daripada pelbagai parti dapat terus memperkukuhkan kerajaan yang ada kerana sejak Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11), itu merupakan kali terakhir mana-mana kerajaan mempunyai majoriti dua pertiga,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Taklimat Program Pembangunan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA) di Bangunan RISDA di sini, hari ini.

Mesyuarat yang bakal dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan disertai oleh Ahmad Zahid serta pemimpin-pemimpin kanan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan.

Ahmad Zahid menambah, mesyuarat malam ini juga bakal menyaksikan Anwar menjejakkan kaki buat kali pertama di WTCKL selepas 25 tahun.

Berhubung agenda-agenda lain termasuk perbincangan mengenai enam pilihan raya negeri (PRN), beliau berkata, perkara itu boleh ditanya kepada Anwar selepas mesyuarat nanti

BBerkaitan

Latest articles