KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil memaklumkan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak membincangkan mengenai jemputan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk hadir ke Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung minggu depan.
Malan, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam tadi juga tidak membincangkan jemputan kepada mana-mana pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Sebaliknya UMNO akan menjemput komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA, MIC dan PBRS.
“Setakat tadi tidak ada buat keputusan apa-apa parti. Tak ada dibincangkan. Setakat hari ini tidak ada sebarang keputusan jemput PH.
“Setakat ini kita jemput parti-parti kita macam biasa setiap tahun,” kata Isham.
Isham dalam masa yang sama memberitahu mesyuarat yang berlangsung dari pukul 8.30 malam 11.00 malam itu turut tidak membincangkan berkaitan pemilihan UMNO.
Mesyuarat yang turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan pemimpin tertinggi lain hanya membincangkan mengenai persediaan perhimpunan agung yang akan bermula pada 11 Januari ini.
“Tidak ada perbincangan mengenai pemilihan parti,” katanya ringkas ketika ditemui sebaik mesyuarat bulanan MKT yang berlangsung di Menara Dato’ Onn tamat.
Katanya, sejumlah 2,838 perwakilan akan hadir pada perhimpunan itu iaitu tambahan 182 orang berbanding tahun lalu.