Mesyuarat Biro Politik UMNO Bukan Platform Serang PM

KUALA LUMPUR: Khabar angin mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ‘diserang’ ketika mesyuarat Biro Politik UMNO yang diadakan malam tadi dinafikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Ahmad Said.

“Tak ada, mana ada hentam PM. PM ada sama kan,” katanya ketika ditanya pemberita sebaik sahaja beliau keluar Menara Dato’ Onn selepas menghadiri mesyuarat tersebut.

Ura-ura berkaitan Ismail Sabri timbul berikutan menyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang menegaskan bahawa UMNO tidak memerlukan poster boy pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

MKT UMNO sebelum ini telah bersetuju untuk menjadikan Ismail Sabri sebagai poster boy BN semasa kempen PRU-15 kelak.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu menambah, mesyuarat tersebut tidak membincangkan tentang Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri itu dalam kes SRC International Sdn. Bhd. kelmarin.

Sebaliknya, beliau berkata, mereka hanya membincangkan tentang persiapan PRU-15.

Sementara itu, dua lagi Ahli MKT UMNO iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Isham Jalil enggan mengulas apabila ditanya tentang mesyuarat berkenaan.

Isham meminta pihak media menunggu kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan oleh parti.

BBerkaitan

Latest articles