Mestron tiada kelulusan edar vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR: Mestron Holdings Bhd (Mestron) menjelaskan ia tidak menerima sebarang kelulusan atau surat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membeli atau mengedar vaksin COVID-19 di negara ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, pengeluar keluli itu sebaliknya berkata, ia berhasrat untuk meneroka dan menceburkan diri dalam perniagaan pengedaran vaksin dengan kerjasama Zhongyu Yexing (Chengdu) Industrial Co Ltd (Zhongyu).

Ia berkata, Zhongyu adalah sebahagian daripada Sino Pharma Group of Companies (Sinopharm), firma yang terbabit khususnya dalam penjualan, pengedaran, pemasaran dan promosi vaksin COVID-19 serta produk farmaseutikal dan perubatan lain.

Zhongyu, katanya, adalah antara pengedar berlesen bagi vaksin COVID-19 China National Biotech Group (CNBG) milik Sinopharm.

“Kami berharap ini akan menjelaskan kedudukan Mestron dalam isu ini seperti yang dilaporkan dalam berita, baru-baru ini,” katanya.

Kenyataan Mestron hari ini bertentangan dengan makluman syarikat itu kepada Bursa Malaysia pada Jumaat lalu.

Dalam makluman itu, Mestron berkata ia memeterai perjanjian induk bersama Zhongyu untuk mengedarkan vaksin COVID-19 di Malaysia.

Pengarah Urusan Mestron, Por Teong Eng dalam kenyataan yang dihantar ke Bursa Malaysia itu berkata, syarikat sudah menerima surat kebenaran untuk memulakan rundingan dan kerjasama dengan mana-mana syarikat dari China bagi pengimportan, pengedaran, penjualan, pemasaran dan penggunaan vaksin COVID-19 di Malaysia.

Kenyataan itu bagaimanapun dinafikan oleh KKM semalam, dengan menyatakan bahawa kementerian tidak pernah mengeluarkan kelulusan atau surat kebenaran kepada syarikat swasta atau pihak lain untuk membeli dan mengedar vaksin COVID-19.

Sebaliknya, KKM hanya diberi kuasa mengurus akses dan membeli vaksin COVID-19.

Mestron pada hari sama bagaimanapun sekali lagi mengulangi bahawa ia sudah menerima surat kebenaran daripada KKM untuk memulakan rundingan dan kerjasama berhubung pengedaran vaksin COVID-19 di Malaysia.

Ia menjelaskan, surat bertarikh 8 Januari 2021 membolehkan pihaknya mengadakan perbincangan dan kerjasama mengenai pengimportan, pengedaran, penjualan, pemasaran serta penggunaan vaksin COVID-19 di negara ini.

BBerkaitan

Latest articles