JOHOR BAHRU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad yang meninggalkan Bersatu baru-baru ini memaklumkan beliau menunggu masa sesuai untuk menyertai UMNO.
Mohd. Izhar yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor itu berkata, dirinya tetap memberi sokongan penuh kepada UMNO, tidak kiralah sama ada parti itu menang atau kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
”Saya akui ia (UMNO) tidak sempurna, tiada mana-mana parti politik yang sempurna tetapi UMNO adalah parti paling lengkap yang mempunyai kekuatan akar umbi yang mana suara mereka didengari kepimpinan atasan.
“Jadi jika mahu tentang mereka, saya tidak rasa itu satu tindakan yang bijak, sekiranya ada kelemahan tidak bermakna kita hancurkan ia, sebaliknya kita tolong perbetulkan dan baiki,” katanya memetik MalaysiaGazette.
Mohd. Izhar juga memaklumkan beliau akan membantu UMNO dan BN dengan caranya sendiri, termasuk di belakang tabir.
“Seperti saya katakan, saya menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN), tetapi saya perlu lalui saluran yang betul kerana sekarang ini semua pihak sedang sibuk, jadi biar mereka berjuang dahulu dan saya akan membantu di belakang tabir,” katanya.
Mohd. Izhar menegaskan tindakannya ‘angkat kaki’ dari Bersatu selepas melihat parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu gagal berpegang kepada agenda penubuhannya, selain sudah hilang hala tuju.
“Pada hemat saya, Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bukan sahaja gagal membawa parti ke tahap lebih baik, malah tidak berusaha memulihkannya selepas berpisah dengan kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam pengumuman baru-baru ini.
Pada PRU14, Mohd. Izhar merupakan calon Pakatan Harapan (PH) daripada Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, menewaskan calon BN, Datuk Yahya Jaafar dan calon Pas, Zakiah Tukirin dengan majoriti 8,590 undi.