Meski Ditekan, Najib Tetap Setia Bersama UMNO

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menegaskan tidak ada satu alasan pun untuk membuatkan dirinya berpaling dari UMNO walaupun diserang dan ditekan bertubi-tubi dari pelbagai sisi.

Menerusi warkah dari penjara yang dibacakan anaknya, Nooryana Najwa pada majlis Amanat Khas Presiden UMNO di Dewan Merdeka hari ini, Najib berkata pendiriannya tetap kukuh meskipun UMNO-Barisan Nasional (BN) tewas dalam PRU14 yang lalu.

“Di malam yang syahdu ini setelah pintu kamar saya di Penjara Kajang dikunci oleh pengawal, saya tergerak hati untuk menulis warkah ini kepada seluruh pimpinan UMNO yang hadir di perjumpaan ini dan penyokong di luar.

“Apabila BN tewas dalam PRU-14 saya beriltizam untuk terus berjuang meskipun ada yang telah mengambarkan UMNO sebagai kapal yang sudah karam dan kata-kata nista lain.

“Ada yang beri pandangan kalau nak hidup dalam politik kita kena pilih untuk menyokong Tun Mahathir ataupun Anwar. Sebaliknya saya memilih untuk menyokong UMNO sebab saya terlalu kasih kepada parti,” katanya.

Sementara itu Najib juga mengajak rakyat untuk menentang ketidakadilan yang didakwanya berlaku pada sistem perundangan negara.

Beliau meluahkan rasa kesal dengan tindakan mahkamah yang menolak hasil siasatan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Sedangkan hasil siasatan berkenaan telah diberikan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Pihak peguam saya telah meminta dibenarkan mengemuka bukti tambahan ini didengari. Sekali lagi permohonan saya ditolak.

“Kenapa tidak mahu diketahui siasatan SPRM sekiranya Hakim Nazlan telah terlibat secara mendalam dalam urusan Maybank Investment dengan 1MDB dan SRC maka beliau perlulah menarik diri daripada menjadi hakim. Kerana Hakim Nazlan sudah berada dalam konflik.

“Sesungguhnya mahkamah perlu mencari kebenaran bukan mencari alasan tidak hendak berbuat demikian.

“Saya yakin jika bukti tambahan dibenarkan kes SRC Interational akan jadi berlainan dari apa yang berlaku. Kemungkinan perbicaraan semula atau kesilapan perbicaraan boleh menjadi keputusan mahkamah,” kata Najib.

Najib juga menegaskan, hak beliau di bawah Perlembagaan Persekutuan telah dinafikan.

Malah buat kali pertama dalam sejarah Malaysia, Najib mendakwa dirinya sebagai seorang perayu tidak diwakili oleh peguam.

BBerkaitan

Latest articles