Mereka Yang Sokong Anwar Adalah Yang Bermasalah, Kata Hamzah

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) yakin tidak ada lagi mana-mana Ahli Parlimennya yang menentang pendirian gabungan itu sekaligus menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keyakinan dan ketetapan itu disuarakan selepas PN mengadakan mesyuarat pada Rabu lalu.

Dalam pada itu, Hamzah menyifatkan dua Ahli Parlimen PN yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Anwar adalah mereka “yang bermasalah”.

“Dalam perbincangan kita dua malam sudah, tidak ada pun nak tarik sokongan, tidak ada. Pada saya sudah tidak ada, ini (tarik sokongan) adalah mereka yang bermasalah.

“Bila ada seseorang yang ada masalah dengan isu dan agensi tertentu, mereka gunakan ini sebagai senjata untuk tentukan masalah mereka akan selesai jika sokong PMX,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PN hari ini.

Hadir sama Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan beberapa Ahli Parlimennya.

Pertengahan Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengumumkan sokongan kepada Anwar, selepas mengambil kira kesukaran yang dihadapi rakyat di kawasannya.

Terbaru, Ahli Parlimen Labuan yang merupakan ahli Bersatu, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman menyusuli langkah Iskandar Dzulkarnain, juga memberi alasan mengambil pandangan dan amanah pengundi di kawasannya.

Sementara itu dalam sidang media yang sama juga, Hamzah berkata, pihaknya sedang mengumpul bukti-bukti mengenai individu yang mengugut dan melakukan intimidasi kepada ahlinya.

Langkah itu bagi mengukuhkan satu laporan polis yang akan dibuat gabungan itu tidak lama lagi.

“Kita sedang mengumpulkan maklumat kerana kita ambil gambar-gambar mereka yang berjumpa dengan kita, kita nak tengok sama ada orang ini datang daripada mana.

“Dia mudah sahaja, dia akan jawab saya buat ini kerana saya sayangkan perdana menteri dan perdana menteri boleh kata dia tak kenal pun orang ini, biasa sahaja.

“Laporan polis, laporan polis tapi kita juga tahu bahawa ini adalah jawapan yang akan diberikan tetapi yang penting berhenti buat semua benda ini. Itu yang paling penting kepada kita,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles