KUALA LUMPUR: Perdana Menteri memberitahu beliau tidak menyalahkan 12 menteri daripada Perikatan Nasional (PN) yang mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan pendirian tidak bersetuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.
Ujar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meskipun tindakan sedemikian disifatkan sebagai tidak wajar, menteri terbabit hanya mengikut arahan parti masing-masing.
“Seperti yang dikatakan (Menteri Dalam Negeri) Datuk Seri Hamzah Zainudin, semalam, ia juga adalah hasil keputusan parti. Ini bermakna, dia bergantung pada keputusan parti, ada pengaruh daripada Presiden parti, dan menteri Kabinet daripada BERSATU tidak boleh dipisahkan dengan pengaruh terbabit.
“Maknanya, dia menerima arahan daripada Presiden parti. Parti arahkan tulis surat. Walaupun tidak wajar, mereka tulis surat kerana arahan daripada parti. Ini diakui oleh Hamzah, dan tidak salahkan mereka mengikut arahan parti, sebab itu adalah arahan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pembukaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), hari ini.
Isnin lalu, Perdana Menteri menerusi Perutusan Khas memaklumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15.
Bagaimanapun pengumuman itu disambut dengan ‘kurang senang’ 12 menteri dari PN yang kemudiannya mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong.