“Mereka Anggap Diri ‘Master’, Tak Suka Blok Borneo” – Hajiji Dedah Sebab Sokong Kerajaan Perpaduan

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mendedahkan bahawa kenyataan angkuh seorang pemimpin utama kerajaan terdahulu yang menggelar dirinya sebagai “master” dan menunjukkan sikap prejudis terhadap blok Borneo, menjadi titik tolak beliau meninggalkan gabungan lama dan menyokong Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Hajiji, kenyataan tersebut diucapkan dalam satu pertemuan bersama dua pemimpin kanan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Seri Jeffrey Kitingan dengan seorang tokoh besar politik peringkat nasional yang tidak dinamakan.

“Saya terkejut apabila beliau berkata mereka adalah ‘master’. Dia tidak suka dengan blok Borneo dan tidak mahu kita berkongsi cerita atau pengalaman dengan Sarawak.

“Saya termenung panjang memikirkan niat dan maksud sebenar beliau. Dari situlah saya hilang keyakinan terhadap mereka dan akhirnya membuat keputusan membawa GRS menyokong kerajaan perpaduan,” katanya semasa sesi penggulungan Persidangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa keputusan menyokong Anwar terbukti membawa manfaat kepada negeri Sabah, termasuk kemajuan dalam pelaksanaan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim, suara kita didengar dan tuntutan kita dihormati. Banyak perkara berkaitan MA63 telah diluluskan, sesuatu yang amat sukar berlaku sebelum ini,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa sokongan GRS terhadap kerajaan perpaduan bukan sekadar strategi politik, tetapi berdasarkan kepentingan rakyat Sabah yang selama ini mahukan layanan lebih adil dari kerajaan persekutuan.

“Jika kerajaan perpaduan membawa manfaat untuk Sabah, kenapa perlu kita tolak? Inilah masa untuk kita maju bersama,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji memaklumkan beliau akan menyertai lawatan rasmi bersama Perdana Menteri ke Jakarta.

Lawatan itu antara lain akan membincangkan kerjasama pembangunan di kawasan Laut Sulawesi dan memperkukuh tuntutan Sabah terhadap hasil pulangan 40% daripada kerajaan persekutuan.

“Isu Ambalat di Laut Sulawesi akan dibincangkan bersama pihak Indonesia. Manakala tuntutan 40% hasil negeri, kita akan terus perjuangkan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles