KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang bekerja sebagai peniaga kenderaan saji (food truck) direman selama tujuh hari selepas disyaki terbabit dalam kes rogol dan cabul terhadap seorang pelajar universiti di Pantai Klebang, Melaka, malam semalam.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek berusia 23 dan 29 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret N Sivashangari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, bermula hari ini hingga 29 Mei depan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek dipercayai menyamar sebagai anggota polis sebelum melakukan jenayah itu terhadap mangsa berusia 18 tahun.
“Modus operandi mereka amat licik. Mereka menghampiri pasangan kekasih yang berada dalam kereta di lokasi sunyi dan menggunakan identiti palsu sebagai anggota polis untuk menakut-nakutkan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, suspek utama mengetuk tingkap kereta pasangan berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
Dia kemudian masuk ke dalam kenderaan tersebut dan menghubungi rakannya yang turut datang menaiki motosikal.
Kedua-dua suspek didakwa menuduh pasangan tersebut melakukan perbuatan tidak bermoral, sebelum mengugut mereka dengan denda sebanyak RM3,000 kononnya untuk mengelakkan tindakan undang-undang.
Setelah mangsa memaklumkan tidak mempunyai wang, pasangan itu dipaksa melakukan aksi lucah di dalam kereta yang sedang dipandu suspek dan dirakam menggunakan telefon bimbit.
Ketika berhenti di sebuah kedai serbaneka, teman lelaki mangsa diarahkan mengeluarkan wang di ATM, manakala gadis tersebut ditinggalkan bersama kedua-dua suspek.
“Mangsa mendakwa dirogol sebanyak dua kali oleh suspek berusia 29 tahun, manakala rakannya mencabul mangsa di dalam kereta yang bergerak,” tambah Dzulkhairi.
Selepas dipaksa menyerahkan wang tunai RM50 yang dipinjam daripada rakan, pasangan itu dibawa semula ke lokasi awal di Pantai Klebang sebelum mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Batang Tiga sekitar jam 3 pagi.
Hasil maklumat dan siasatan lanjut, polis berjaya menahan kedua-dua suspek tidak lama kemudian di sekitar Klebang.
Kedua-duanya disahkan negatif dadah melalui ujian saringan air kencing.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol) dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan (menyamar sebagai penjawat awam).
Polis menggesa orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah mempercayai individu yang memperkenalkan diri sebagai penguat kuasa tanpa sebarang pengenalan diri yang sah.
Orang ramai juga digalakkan melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada pihak berkuasa dengan segera.