KUALA LUMPUR: Perdebatan yang terlalu fokus kepada perbezaan agama berpotensi untuk mencetuskan ketegangan dan mengeruhkan hubungan antara masyarakat yang berbilang agama, kata Menteri Perpaduan.
Sehubungan itu, Datuk Seri Aaron Aro Dagang berharap agar perdebatan mengenai agama Hindu antara Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Saravanan dan penceramah bebas, Zamri Vinoth, tidak diteruskan.
“Perbincangan atau perdebatan yang berkaitan dengan agama tidak seharusnya diteruskan jika ia hanya bertujuan untuk mencari perbezaan dan mengabaikan usaha untuk membina perpaduan,” katanya dalam kenyataan.
Aaron menjelaskan perbincangan mengenai agama seharusnya dilakukan dengan penuh rasa hormat dan kesedaran terhadap kepelbagaian dalam masyarakat.
“Walaupun kita mempunyai pelbagai agama dan kepercayaan, adalah lebih utama untuk kita memberi fokus kepada titik persamaan dan nilai-nilai universal yang dapat menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Zamri pada Jumaat menerima cabaran Saravanan untuk berdebat mengenai agama Hindu, berikutan kemarahan orang ramai terhadap kenyataannya berkaitan upacara kavadi.
Cabaran untuk berdebat timbul selepas kritikan tercetus terhadap kenyataan Zamri mengenai upacara kavadi, dengan Saravanan menggesa penahanannya bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas).
Dalam pada itu, Aaron berkata terdapat platform yang telah disediakan oleh Kementerian Perpaduan iaitu Inisiatif Harmoni MADANI yang melaksanakan siri Dialog Harmoni dengan tema Faham, Hormat & Terima.
Sesi itu bagi membincangkan dan berkongsi amalan baik agama masing-masing, serta nilai persamaan yang mampu meningkatkan hubungan antara penganut agama di negara ini.
“Oleh itu, adalah lebih baik untuk semua pihak memanfaatkan platform Dialog HARMONI kendalian Kementerian sebagai medium untuk memperkukuh kefahaman dan menghargai kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat kita dengan mengangkat titik persamaan,” katanya lagi.