Menteri Pendidikan Arah Kajian Segera Sebelum Kembalikan UPSR, PT3

PUTRAJAYA: Polemik pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) berkemungkinan memasuki fasa baharu apabila Kementerian Pendidikan (KPM) memberi bayangan untuk menilai semula keperluan mengembalikan kedua-dua peperiksaan utama itu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan, Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) telah diarahkan supaya menjalankan kajian menyeluruh berhubung perkara berkenaan, susulan perdebatan berterusan dalam kalangan masyarakat dan pemain industri pendidikan.

Menurut beliau, isu berkaitan UPSR dan PT3 masih menjadi topik hangat yang mencetuskan pelbagai pandangan, justeru input daripada pakar pendidikan amat diperlukan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Katanya, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azam Ahmad juga diminta memberikan pandangan bagi dibentangkan dalam perbincangan MPPK.

“Perkara ini masih dalam polemik masyarakat. Saya minta pandangan dan kepercayaan diberikan kepada Ketua Pengarah Pendidikan, dan ia akan dibincangkan oleh ahli-ahli majlis penasihat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis amanat Tahun Baharu KPM, hari ini.

Fadhlina berkata, hasil kajian berkenaan kemudiannya akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan keputusan muktamad.

Untuk rekod, UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 dibatalkan pada tahun sama sebelum dimansuhkan sepenuhnya pada 2022, dengan sistem pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) diperkenalkan sebagai pengganti.

Namun, langkah itu terus menerima kritikan, termasuk dakwaan ketiadaan peperiksaan berpusat menyumbang kepada keciciran pelajar sehingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh sebelum ini menegaskan prestasi SPM kekal stabil walaupun UPSR dan PT3 tidak lagi dilaksanakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina turut mengulas jangkaan kenaikan tambang bas sekolah, dengan memaklumkan perkara tersebut akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibincangkan secara terperinci.

“Itu masih sekadar jangkaan. Saya akan bawa perkara ini ke Jemaah Menteri dan kita lihat secara keseluruhan,” katanya.

Sebelum ini, Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia memaklumkan kemungkinan kenaikan tambang berikutan peningkatan kos operasi, termasuk insurans, gaji pemandu serta harga alat ganti kenderaan.

BBerkaitan

Latest articles