PUCHONG: Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, Datuk Seri Mohamad Sabu tidak serius selain gagal menyelesaikan isu beras putih tempatan yang berlarutan lebih dua tahun di negara ini.
Susulan itu beliau menggesa kerajaan untuk meletakkan portfolio urusan padi dan beras di bawah badan itu.
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, beliau akan mengemukakan permohonan itu kepada Perdana Menteri pada sidang Parlimen bulan depan.
“Saya hendak minta Perdana Menteri meletakkan portfolio urusan padi, penambahan yield (pengeluaran) padi dan urusan beras diletakkan di bawah Naccol. Saya mengambil tanggungjawab untuk selesaikan isu ini.
“Bagi saya masa tiga bulan sahaja dan saya boleh selesaikan. Saya akan buat cadangan tanpa ada gangguan.
“Sebab itu saya minta, seluruh isu beras padi dalam negara diletakkan di bawah NACCOL sementara sahaja. Bukan saya minta lama-lama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media mengenai isu beras negara, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mendakwa peranan Bahagian Kawal Selia Padi Dan Beras tidak berkesan dalam membantu menteri mencari penyelesaian dan hanya menjanjikan kajian demi kajian yang tidak ada kesudahannya.
“Tidak payah tahun ini, hendak kajian, berapa lama nak kaji? Come on lah Menteri Pertanian, rakyat menilai sebenarnya. Isu beras pun tidak boleh selesai.
“Macam mana ini komoditi yang lain? Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari-hari bercakap mengenai kos sara hidup tapi menteri buat tidak peduli sahaja. No respon,” katanya.
Minggu lalu, Mohamad Sabu mengumumkan penjualan beras campuran sedang dikaji bagi mendepani kekangan pengilang khususnya Bumioutera yang tidak dapat menjual beras tempatan pada kadar RM26 bagi kampit 10kg.
Mohamad Sabu berkata setiap keputusan yang dibuat akan meletakkan pesawah sebagai keutamaan dan pasa masa sama turut memikirkan alternatif kepada masyarakt agar tidakterbeban dengan harga beras yang terlalu tinggi.
Katanya, kementerian juga akan berbincang mengenai ketetapan harga lantai yang perlu dipatuhi pengilang supaya tiada mana-mana pihak yang rasa ‘tertindas’ kerana tidak mampu membeli padi pada harga yang tinggi.