Menteri Bersatu, PAS Utus Surat Kepada Agong Kerana Patuh Pendirian Parti

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempertahankan tindakan 12 menteri Kabinet yanh mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong dengan mendakwa ia selaras keputusan parti yang enggan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat.

“Keputusan parti adalah tidak mahu membuat PRU-15 dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pun selalu mengatakan dirinya adalah ‘party man’ (orang kuat parti). Saya hormat cara beliau menjawab.

“Maka saya pun sebagai ‘party man’, kena dengar kepada (keputusan) parti. Apabila parti kata tidak sesuai sekarang (PRU-15), saya pun ikut sama tak sesuai (diadakan PRU-15).

“Sama juga dengan beliau (Ismail Sabri), sekiranya Presiden dia (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) kata nak ada pilihan raya sekarang, maka beliau kena ikut,” katanya pada sidang media Taklimat Op Banjir di Bukit Aman, hari ini.

Isnin lalu, Ismail Sabri menerusi satu Perutusan Khas memaklumkan Yang di-Pertuan Agong memperkenan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15.

Bagaimanapun tindakan itu tidak dipersetujui 12 menteri daripada Perikatan Nasional (PN) yang kemudiannya mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ismail Sabri menyifatkan tindakan sedemikian mencetuskan ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.

Perdana Menteri juga berkata, tindakan menteri terbabit jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya diperkenan Yang di-Pertuan Agong, sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

Mengulas mengenai perkara itu, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri dan penyandang kerusi Parlimen Larut berkata, adalah normal untuk mana-mana wakil parti mengutus surat kepada sesiapa.

“Seperti dikatakan Perdana Menteri berkenaan surat itu sebelum ini, beliau mengatakan perkara itu adalah normal, namun selepas beberapa hari, beliau mengeluarkan kenyataan mengatakan sebaliknya.

“Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena di sini. Saya faham kedudukan ini boleh berlaku sebab kita sudah bincang dalam Kabinet bahawa kadang-kadang kita fikir tanggung jawab mewakili parti tertentu, tiada pilihan.

“Sama juga dengan Perdana Menteri, beliau tiada pilihan apabila partinya (UMNO) mengarahkan beliau membuat sesuatu dan perlu akur,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles