Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu menteri Kabinetnya yang menjadi alumni Universiti Malaysia (UM) menyumbang RM10,000 kepada Tabung UM Endowment Fund (UMEF) untuk tujuan pembangunan masa depan universiti berkenaan.
Selain Anwar, antara menteri pernah melanjutkan pengajian ke universiti itu adalah Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan, Menteri Pertahanan Khaled Nordin dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Anwar turut mencadangkan alumni UM yang berpendapatan RM10,000 sebulan ke atas menyumbang sekurang-kurangnya RM1,000 kepada tabung berkenaan.
“Bermula dengan ahli Jemaah Menteri alumni, kita akan memulakan dana wajib sebanyak RM10,000 seorang dan saya percaya setiap graduan universiti yang mempunyai sumber pendapatan lebih RM10,000 harus diwajibkan memberikan RM1,000 kepada UMEF.
“Justeru, jika kita kumpulkan keseluruhannya saya percaya kita boleh mencapai angka lebih setengah bilion dengan dana lebih besar,” katanya pada majlis makan malam alumni UM.
Turut berangkat Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga canselor UM.
Bagaimanapun Anwar berkata seruan itu bukan bermakna kerajaan ingin melepas tangan untuk menyalurkan peruntukan kepada dana pembangunan universiti berkenaan.
“Saya bukan mahu melepaskan tanggungjawab pemerintah, tetapi saudara saudari tahu kita ada tekanan keterbatasan kerana kita warisi keadaan ekonomi yang tidak diuruskan dengan begitu bertanggungjawab (pentadbiran terdahulu).
Mengulas lanjut, Anwar berkata, ekonomi negara ketika ini turut direncana dan dibantu oleh alumni UM.