KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing tampil menjelaskan kekeliruan berhubung isu hidangan alkohol dalam majlis Global Travel Meet (GTM) 2025 Gala Dinner, dengan mengakui berlaku kesilapan komunikasi hingga menimbulkan salah faham seolah-olah acara itu dianjurkan oleh Tourism Malaysia.
Menurut Tiong, majlis makan malam tersebut bukan acara rasmi kerajaan, sebaliknya dianjurkan pihak industri dan swasta namun pihaknya terlepas pandang untuk memaklumkan perubahan penganjur lebih awal.
“Kesilapan pada malam itu, saya sepatutnya umum penganjur sudah bertukar. Majlis itu bukan di bawah Tourism Malaysia. Kekeliruan ini amat dikesali,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Tiong menegaskan, tiada sebarang majlis rasmi anjuran kementerian yang membabitkan hidangan alkohol, malah perkara itu jelas dilarang di bawah Pekeliling Perbendaharaan WP5.1 mengenai keraian rasmi kerajaan.
“Baru-baru ini kita anjur Persidangan Pelancongan Dunia di Melaka, ada alkohol? Tiada. Kita faham larangan itu dan sentiasa patuhinya,” ujarnya lagi.
Menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN–Dungun), Tiong menjelaskan antara punca kekeliruan ialah penggunaan logo Tourism Malaysia di latar pentas utama majlis GTM 2025.
“Saya buat silap kerana logo di sana masih tunjuk Tourism Malaysia. Acara makan malam itu sebenarnya ‘private event’, bukan rasmi. Jadi isu alkohol tidak sepatutnya timbul,” katanya.
Tiong turut menegaskan, pihak kementerian bertanggungjawab sepenuhnya atas kekeliruan yang berlaku dan memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan isu tersebut.
Mengulas lanjut, Tiong memaklumkan beliau telah menerima teguran daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan berjanji untuk memperbaiki komunikasi serta memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Perdana Menteri bagi nasihat, kita terima dengan terbuka. Saya cuma minta supaya isu ini jangan dijadikan bahan politik. Kita tak hina sesiapa, dan dalam mana-mana acara anjuran kita, memang tiada alkohol di atas meja,” katanya.
Walaupun terpalit kontroversi, penganjuran GTM 2025 tetap mencatat kejayaan besar apabila nilai jualan pelancongan mencecah RM420 juta hasil rundingan perniagaan sepanjang tiga hari acara tersebut.
Sebelum ini, Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana agensi atau kementerian yang melanggar larangan berhubung penyajian minuman keras dalam acara rasmi kerajaan.