Menteri Agama Ingatkan Umat Islam Tidak Boleh Ambil Sikap Neutral Dalam Isu Palestin

KUALA LUMPUR: Sebagai warganegara Malaysia yang bertanggungjawab, lebih-lebih lagi bagi umat Islam, adalah tidak patut jika mereka mengambil pendirian untuk berkecuali dan bersikap neutral apabila berdepan dengan isu serangan tentera Israel terhadap rakyat Palestin ketika ini.

Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sambil menambah, perkara itu tidak sepatutnya timbul dalam kalangan mereka yang beragama Islam.

“Kita beri nasihat, kadang-kala isu ini mungkin kita rasa tak libat diri kita, tak libat agama kita, tak libat bangsa kita.

“Kita tidak tahu satu masa nanti kena pada diri kita, warga kita, bangsa kita dan agama kita.

“Jadi ini bukan masa yang sesuai untuk kita kekal neutral,” katanya memetik MalaysiaGazette, selepas merasmikan Seminar Peradaban Islam Dalam Ketamadunan Malaysia 2023 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Dewan Sheikh Othman Sarawak, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Hadir sama Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Madya Dr Ahmad Sunawari Long dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Mohd Naim berkata, serangan bersenjata ke atas penduduk di Gaza bukan isu agama, sebaliknya ia menyentuh hak asasi manusia yang dicabuli tentera zionis.

“Sebab itu kita kena lihat secara luas dan ini bukan masanya untuk kita jadi neutral macam itu, berdiam diri dan tidak mainkan peranan, malah kekal neutral macam itu, tak libat.

“Saya rasa sebagai masyarakat dan rakyat yang bertanggungjawab, tanpa melihat kepada agama seseorang itu.

“Isu ini merentasi agama, ia isu kemanusiaan, sepatutnya kita terdetik sebagai rakyat bertanggungjawab.

“Apa yang berlaku di satu negara itu (Palestin) kita patut rasa bertanggungjawab untuk bersuara,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kesal dengan pendirian beberapa negara barat yang dilihat enggan memberikan dukungan kepada isu-isu kemanusiaan di Gaza.

Sebaliknya katanya, Malaysia tegas dengan pendirian supaya segala bentuk serangan ke atas orang ramai, termasuk wanita dan kanak-kanak dihentikan, dan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada rakyat Palestin.

BBerkaitan

Latest articles