Mengundi Bukan Soal Populariti, Tapi Masa Depan Negara

KUALA LUMPUR: Pengundi diingatkan agar tidak menjadikan populariti atau emosi sementara sebagai asas membuat pilihan politik kerana keputusan di peti undi akan menentukan arah negara untuk lima tahun akan datang.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, budaya mengundi secara sentimental perlu dihentikan kerana kesannya bukan hanya ditanggung oleh individu, tetapi seluruh rakyat.

“Kita bukan pilih peserta rancangan realiti. Ini soal membentuk kerajaan. Kalau salah pilih, seluruh negara akan menanggung akibatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi ramah mesra bersama pengamal media di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas peranan sayap parti, Mohamad menegaskan Wanita UMNO terus menjadi tulang belakang dalam menjaga kebajikan rakyat, terutama ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.

Katanya, peranan Wanita UMNO bukan sekadar berpolitik, sebaliknya perlu turun menyantuni rakyat dengan pendekatan yang lebih peribadi.

“Wanita UMNO mesti jadi penjaga ekonomi dapur rakyat. Kalau kita boleh masuk dapur rumah orang, itu tanda kita diterima dan dipercayai,” katanya.

Menurut beliau, keupayaan sayap wanita memahami isu harga barang, bekalan makanan dan tekanan ekonomi harian menjadi kekuatan UMNO untuk membina semula keyakinan rakyat.

Sementara itu, Pemuda UMNO pula perlu bertindak sebagai suara semak dan imbang terhadap dasar kerajaan tanpa dikekang.

“Pemuda adalah nadi parti. Kalau suara mereka disekat, parti akan kehilangan tenaga,” katanya.

Bagi Puteri UMNO, Mohamad berkata peranan utama mereka adalah menguasai kempen digital dan perang siber, sejajar dengan landskap politik yang semakin tertumpu di alam maya.

“Kita tak boleh hanya bergantung pada ceramah. Dengan satu klik, mesej boleh sampai kepada jutaan orang. UMNO perlu bergerak ke arah pendigitalan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan generasi muda supaya memahami asas perjuangan politik dan tanggungjawab sebagai pengundi, bukan sekadar mengikut trend atau sentimen sementara.

BBerkaitan

Latest articles