Mengapa Syed Saddiq Tak Diturunkan Sebagai Calon MUDA Di PRN Johor?

JOHOR BAHRU: Perdebatan mengenai tindakan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak menurunkan Presidennya, Syed Saddiq Abdul Rahman sebagai calon untuk bertanding di mana-mana kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 Johor bukan sahaja berkisar di dalam parti, malah ia turut dibangkitkan oleh pihak luar.

Sebagai contoh, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, pada semalam menggesa Syed Saddiq turun bertanding sebagai calon pada PRN Johor, memandangkan seorang pemimpin didakwa perlu menerajui gerak parti dari hadapan.

Apatah lagi MUDA sepatutnya mengambil peluang dalam PRN kali ini, sekiranya mahu meletakkan parti mereka dalam barisan parti-parti politik tanah air.

Diajukan hal itu, Setiausaha Agung MUDA, Amira Aisya Abd Aziz, berkata percaturan mempertaruhkan Presiden sebagai calon mempunyai kesan baik dan buruk.

“Sudah tentu ada mencadangkan (Syed Saddiq bertanding pada PRN Johor) dan ada perbahasan dalam MUDA kerana kami sangat lantang sehingga pelbagai benda kita bahaskan.

“Ada baik dan buruk…secara peribadi, lebih penting (MUDA) fokus kepada tujuh kerusi yang kita umumkan, dengan buktikan bakat kepemimpinan tanpa ada lagi yang mempertikaikan atau bertelagah di luar sana.

“Cuma, sekarang MUDA akan tumpukan perhatian kepada tujuh kerusi saja,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Puteri Wangsa.

Amira merupakan calon MUDA bagi DUN Puteri Wangsa.

Malah Amira ketika mempertahankan pendirian parti untuk tidak menurunkan Syed Saddiq menggesa semua pihak untuk tidak melihat MUDA kepada seorang sosok bernama Syed Saddiq semata-mata.

“Untuk MUDA, kita perlu sedar bahawa parti ini lebih daripada Syed Saddiq, malah setiap ahlinya setaraf dengan Syed Saddiq. Justeru ini bukan hanya soal seorang pemimpin.

“MUDA datang dalam pakej untuk berkhidmat dan memimpin perjuangan rakyat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles