KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Keningau hari ini menjatuhkan hukuman penjara 45 tahun dan 15 sebatan terhadap seorang petani selepas mengaku bersalah merogol anak kandungnya yang juga remaja lembam.
Tertuduh yang berusia 40 tahun itu dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Mohd Puji, menurut Sinar Harian.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa merogol anak perempuannya yang ketika itu berusia 13 tahun di tepi kebun getah di sebuah kampung di Tambunan, kira-kira 5 petang, pada Jun 2023.
Dia pada bulan sama didakwa sekali lagi melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di kampung lain, daerah sama.
Tertuduh sekali lagi melakukan perbuatan sama kira-kira 5.30 petang pada 21 Ogos 2024.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ling Guong Zhin manakala tertuduh diwakili peguam Timothy Daut.
Terdahulu, Ling memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada masyarakat.
Timothy bagaimanapun merayu hukuman ringan memandangkan anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan telah bertaubat di atas kesalahannya.
Hakim kemudiannya menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara dan lima sebatan bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan semua hukuman berjalan secara berasingan.