Meneroka Pelancongan Berasaskan Komuniti di Sabah

Pelancongan massa mungkin sesuatu yang diburui pada masa lalu, namun kini usaha-usaha pelancongan mampan menjadi trend global. Ini termasuklah pelancongan berasaskan komuniti atau community-based tourism (CBT) telah menjadi tumpuan utama negeri Sabah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. CBT merupakan satu bentuk pelancongan yang melibatkan komuniti tempatan dalam merancang, membangun dan mengendalikan aktiviti pelancongan. Inisiatif CBT bertujuan untuk memperkasakan penduduk tempatan, memulihara sumber alam semula jadi dan budaya, disamping mengagihkan faedah ekonomi secara lebih saksama dalam kalangan komuniti.

Di negeri Sabah, inisiatif CBT menawarkan pengalaman perjalanan yang unik dan memberi manfaat bagi mereka yang ingin merasai pengalaman seperti orang tempatan di Sabah. Selain itu, dengan menyokong usaha komuniti tempatan, meraikan tradisi budaya, dan menghormati persekitaran semula jadi, pelancong boleh mencipta kenangan yang berkekalan sambil menyumbang kepada pembangunan mampan destinasi yang luar biasa ini.

Jika anda sedang mencari produk pelancongan CBT Sabah yang menawarkan pelbagai pengalaman yang menarik dan peluang untuk merasai tradisi dan budaya tempatan, berikut adalah beberapa cadangan popular untuk anda:

Kredit foto: Kiulu Farmstay

Kiulu Farmstay

Kiulu Farmstay adalah salah satu projek CBT yang diadakan di Lembah Kiulu. Produk pelancongan luar bandar ini menawarkan penginapan ‘farmstay’ dan aktiviti luar seperti ‘quadbiking’ atau ATV, mendaki dan aktiviti berpasukan. Ia adalah tempat yang menarik untuk merasai kehidupan luar bandar dan belajar tentang amalan pertanian mampan mengikut cara kaum Kadazan-Dusun.

Semasa di Kiulu Farmstay, anda akan berpeluang untuk tinggal bersama keluarga tempatan, sekaligus memberikan anda peluang terbaik untuk berinteraksi dan mempelajari lebih lanjut tentang adat dan tradisi mereka sambil menikmati layanan mesra hospitaliti orang Sabah.

Untuk maklumat lanjut, hubungi: 088-438 300

Kredit foto: Bukit Sosodikon

Bukit Sosodikon

Terletak di Kampung Kauluan, Kundasang, Bukit Sosodikon merupakan tarikan pelancongan terkini yang diurus dan diselenggara oleh Koperasi Sosodikon Ranau Berhad (KOPSODIK) iaitu sebuah koperasi yang diuruskan sepenuhnya oleh penduduk Kampung Kauluan.

Selain keindahan panorama dari puncak bukit, kecantikan denai yang memukau turut menjadi tarikan, ditambah dengan laluan ke puncak bukit yang mudah didaki. KOPSODIK juga menyediakan pakej homestay untuk pengunjung yang ingin merasai pengalaman budaya tempatan, sambil berpeluang untuk mempelajari cara menanam bunga dan menuai sayur-sayuran.

Untuk maklumat lanjut, hubungi 013 8510302 / 017 8956192

Kampung Warisan Monsopiad

Dinamakan sempena pahlawan lagenda Kadazan-Dusun yang terkenal, Monsopiad, kampung ini mempamerkan lawatan berpandu di sekitar rumah tradisional Kadazan-Dusun, persembahan kebudayaan dan peluang untuk mempelajari adat dan tradisi tempatan.

Walaupun kampung warisan ini tidak menawarkan pengalaman homestay seperti kebanyakan destinasi CBT di Sabah, ia menawarkan pelbagai aktiviti untuk pelawat, seperti kelas memasak makanan tradisional dan aktiviti pembinaan berpasukan, serta menyediakan ruang acara yang boleh ditempah untuk acara persendirian, makan malam bertema atau korporat.

Untuk maklumat lanjut, hubungi 011-1419 6488

Meneroka Gua Pungiton bertingkat adalah salah satu tarikan di Orou Sapulot

Orou Sapulot

Terletak di pedalaman Sabah, berhampiran sempadan Kalimantan, Orou Sapulot ialah sebuah projek CBT yang terletak jauh di tengah-tengah Borneo. Lokasinya yang terletak di dalam perkampungan masyarakat Murut memberi peluang unik kepada pengunjung untuk merasai sendiri budaya Murut dan mengambil bahagian dalam aktiviti harian mereka.

Antara aktiviti pengembaraan yang ditawarkan termasuklah ‘rapid shooting’ meredah jeram, berakit, berenang di kawasan air terjun, menjelajah gua, memancing dan memanjat Batu Punggul iaitu puncak batu kapur setinggi 600 meter di tengah hutan.

Terletak kira-kira 68 kilometer dari daerah Tenom, pelawat disarankan untuk menginap sekurang-kurangnya dua malam untuk benar-benar merasai keseronokan dan keindahan Orou Sapulot.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Borneo Outback Tours di talian 019-227 7077

KOPEL

KOPEL atau Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh Kinabatangan ialah sebuah organisasi pelancongan berasaskan komuniti yang terletak di daerah Kinabatangan, Sandakan. Organisasi CBT yang pernah memenangi anugerah ini menawarkan pelbagai aktiviti eko-pelancongan, termasuk lawatan melihat hidupan liar, homestay dan pengalaman kebudayaan.

Selain memberikan pengalaman CBT bersama komuniti Orang Sungai, KOPEL juga membantu melindungi Santuari Hidupan Liar Kinabatangan melalui usaha pemuliharaan dan pembangunan mampan.

Untuk maklumat lanjut, layari www.kopelkinabatangan.com

Darau Wetland Eco-Tourism

Terletak di Kampung Darau Menggatal, perjalanan ke Darau Wetland Eco-Tourism mengambil masa kurang daripada satu jam dari bandaraya Kota Kinabalu. Destinasi ini terletak di dalam kawasan paya bakau yang berfungsi sebagai tempat perlindungan pelbagai hidupan liar.

Antara aktiviti yang boleh disertai pengunjung ialah merentas di denai alam semula jadi, memerhati burung, menyelami budaya bersama masyarakat setempat, dan aktiviti pemuliharaan alam sekitar seperti pembersihan sungai dan penanaman pokok bakau.

Untuk maklumat lanjut, hubungi 016-804 866

Tagal Taman Tinopikon

Terletak di daerah Penampang, Tagal Taman Tinopikon, adalah destinasi unik dan menawan yang terletak di lembah Sungai Moyog yang indah. Ia adalah bukti komitmen komuniti Kadazandusun terhadap pengurusan sumber alam semula jadi yang mampan dan pemeliharaan budaya.

Taman ini terkenal dengan sistem ‘tagal’, iaitu satu amalan pemuliharaan tradisional di mana penangkapan ikan dihadkan di kawasan yang ditetapkan. Hasil daripada pendekatan mampan ini, ekosistem akuatik di taman ini terpelihara dan kaya dengan sumber pelbagai jenis ikan.

Selain mempelajari sistem tagal, pengunjung juga boleh mengambil bahagian dalam aktiviti alam semula jadi seperti merentas hutan, mandi sungai dan memerhati burung, sambil mengenali dengan lebih dekat cara hidup masyarakat Kadazandusun. Sudah tentu, lawatan ke kawasan tagal tidak akan lengkap tanpa merasai pengalaman ‘urut ikan’ oleh ikan Pelian yang menghuni sungai ini.

Untuk maklumat lanjut, hubungi 019-505 4514 atau +6011-13321274

Eko-pelancongan Kampung Kolosunan

Kawasan eko-pelancongan kampung Kolosunan merupakan projek CBT yang terletak di Kampung Kolosunan, Inanam, Sabah. Ia terletak di dalam kawasan Rizab Biosfera Banjaran Crocker, sekaligus menawarkan peluang kepada pengunjung untuk merasai keindahan hutan hujan dan mempelajari cara hidup tradisional masyarakat Dusun.

Kampung Kolosunan mempunyai beberapa denai yang diselenggara dengan baik untuk aktiviti kembara mengikut pilihan tahap gred kesukaran dari mudah sehingga sederhana. Laluan ini menawarkan peluang untuk memerhati kepelbagaian flora dan fauna, termasuk pelbagai spesies burung, serangga dan kehidupan tumbuhan yang unik. Pengunjung juga boleh mempelajari tradisi dan adat resam masyarakat Dusun melalui program homestay yang turut menawarkan persembahan kebudayaan dan bengkel kraf tradisional.

Untuk maklumat lanjut, hubungi 016-307 9795

Sertai dan pelajari tentang gaya hidup tradisional penduduk tempatan di Homestay Desa Cinta Kobuni

Homestay Desa Cinta Kobuni

Terletak di Kota Kinabalu, projek CBT ini menawarkan gambaran tentang gaya hidup tradisional masyarakat Kadazan-Dusun.

Pengunjung boleh tinggal bersama keluarga tempatan dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti kebudayaan, seperti persembahan tarian tradisional, demonstrasi anyaman dan bermain muzik bambu. Selain itu, pengunjung juga berkesempatan mempelajari cara menyediakan makanan tempatan seperti Kuih Nurud dan Linopot.

Jika anda ingin menyumbang lebih banyak kepada komuniti setempat, anda juga boleh melibatkan diri dalam pelbagai projek komuniti seperti penyelengaraan sekolah dan penambahbaikan infrastruktur awam. Dengan cara ini, anda secara tidak lansung memberi impak positif kepada kehidupan penduduk kampung melalui aktiviti pelancongan sukarela.

Untuk maklumat lanjut, e-mel [email protected] atau hubungi +6018-9655281

Taman Rekreasi Kintup

Terletak di Kampung Tikolod, Tambunan, Taman Rekreasi Kintup adalah sebuah permata tersembunyi yang popular di kalangan penduduk tempatan dan pelancong. Ia menawarkan tempat yang tenang, jauh dari hiruk-pikuk kebingitan suasana kehidupan bandar.

Dikelilingi oleh kehijauan alam dan bunga-bungaan indah yang ditanam oleh penduduk tempatan, pengunjung boleh menikmati aktiviti berkhemah atau berkelah di tepi Sungai Tikolod yang mengalir jernih. Pondok-pondok juga disediakan untuk disewa, serta kemudahan asas yang lain seperti tandas dan ruang mandi untuk keselesaan pengunjung selepas bersantai atau mandi manda.

Selain suasananya yang indah, Taman Rekreasi Kintup turut memberikan peluang untuk mengenali budaya Kadazandusun dengan lebih dekat melalui rumah tradisional serta kedai kraf tangan yang mempamerkan seni tempatan.

Untuk maklumat lanjut, hubungi 012-834 3234 (Sylvester)

Sesungguhnya pelancongan berasaskan komuniti menawarkan cara yang bermanfaat dalam memberi kesan positif kepada komuniti yang anda lawati. Dengan memilih jenis pengembaraan ini, anda bukan sahaja mendekatkan diri dengan budaya asli tempatan di luar jangkauan pelancongan massa, tetapi juga menyumbang secara lansung kepada kesejahteraan ekonomi masyarakat luar bandar.

Layari www.sabahtourism.com untuk maklumat lanjut tentang pelancongan berasaskan komuniti di Sabah.

BBerkaitan

Latest articles