Mendakwa ‘Tuhan Itu Makhluk Halus’ Perbuatan Syirik, Boleh Jejas Akidah

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menasihati setiap individu yang ingin menyampaikan sebarang perkongsian agama atau kesucian Allah SWT supaya lebih berhati-hati dengan setiap patah kata yang disampaikan.

Mengulas isu seorang wanita yang menyamakan Allah dengan makhluk halus, Zulkifli menegaskan pernyataan itu amat berat dan boleh menjejaskan akidah serta meletakkan diri ke lembah syirik jika diungkapkan dengan sengaja.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menguls kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pengasas produk makanan terkenal yang mengaitkan tuhan sebagai makhluk halus, baru-baru ini.

Ujarnya lebih lanjut, jika individu itu menyebut kenyataan itu dengan niat untuk menyamakan Allah S.W.T dengan makhluk, hendaklah dia segera bertaubat.

Apatah lagi, Allah wujud tanpa menyamai sesuatu pun di alam ini sama ada jisim ataupun sifat jisim.

“Jisim pula terbahagi kepada dua, iaitu jisim kathif dan jisim latif. Jisim Kathif pula adalah jisim yang dapat dilihat seperti manusia, binatang, bulan, batu dan lain-lain manakala jisim latif adalah jisim yang halus dan tidak dapat dilihat dan dirasai dengan tangan seperti cahaya, elektrik, ruh, malaikat, jin dan seumpamanya.

“Sesungguhnya Allah SWT adalah Maha Pencipta yang menciptakan segala yang ada di alam ini manakala semua selain Allah adalah makhluk yang Allah sendiri menciptakannya. Maha Suci Allah dari disifatkan sebagai ‘makhluk halus’,” katanya menerusi saluran media sosialnya, Maktabah al-Bakri hari ini.

Zulkifli berkata, sekiranya perkataan tersebut tidak disengajakan, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun.

“Sebagai manusia, sudah pasti akan ada salah silap dalam tindak tanduk dan tutur kata. Inilah hakikat dan lumrah seorang manusia yang penuh dengan kekurangan, kelemahan, dan ketidaksempurnaan.

“Ingatlah bahawa sebaik-baik pendosa, adalah mereka yang bertaubat kepada Allah SWT,” katanya.

Setelah isu berkenaan tular dan menerima kecaman ramai, individu berkenaan sudah memohon maaf di atas keterlanjurannya.

BBerkaitan

Latest articles