Mencuri Tetap Dosa, Sama Ada Demi Kelangsungan Hidup, Bantu Mangsa Banjir

ALOR SETAR: Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang menegaskan perbuatan mencuri meskipun sedang berada dalam keadaan kesempitan akibat banjir, tetap berdosa di sisi agama.

Kesalahan itu hanya boleh dihapuskan sekiranya pemilik menghalalkan perbuatan si pencuri.

Tegasnya lagi, perbuatan itu tetap dianggap berdosa meskipun dengan niat ingin membantu mangsa banjir yang lain yang berada dalam kesusahan, atau kelaparan.

Syeikh Fadzil mengulas kejadian mangsa banjir di Lembah Klang baru-baru ini yang dikatakan mencuri barang dari pasar raya demi kelangsungan hidup, dan ada juga yang mengambil makanan dari pasar raya untuk diberikan kepada mangsa banjir yang lain.

“Walaupun berniat baik, caranya tidak betul. Matlamat tidak menghalalkan cara, meskipun matlamatnya adalah baik mahu bantu mangsa banjir,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan Zakat Perniagaan oleh Syarikat Korporat, di Alor Setar, hari ini.

Sebanyak 16 syarikat menjelaskan zakat perniagaan masing-masing yang keseluruhan berjumlah RM8,112,895.82 dan diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah Datuk Syeikh Zakaria Othman.

BBerkaitan

Latest articles