Kuala Lumpur, 15 Januari 2025 – Menara Kuala Lumpur, salah satu mercu tanda ikonik negara, kini akan disinari dengan warna hijau setiap malam sebagai penanda masuknya waktu solat Maghrib dan Isyak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Langkah ini merupakan satu inisiatif unik yang tercetus selepas satu majlis bermakna yang diadakan hari ini dengan kerjasama Media Prima Berhad, di mana azan terbaharu telah dilancarkan. Terinspirasi daripada makna majlis tersebut, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. mengambil inisiatif memperkenalkan pencahayaan hijau sebagai peringatan masuknya waktu solat, selain usaha mendekati komuniti setempat.
Menurut Nazli Saad, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., pencahayaan hijau ini adalah simbolik kepada nilai-nilai murni dan kebersamaan dalam masyarakat.
“Kerjasama bersama Media Prima ini, termasuk TV3, TV9, dan Tonton, mencerminkan komitmen bersama dalam mempromosikan nilai-nilai positif dan mengukuhkan perpaduan. Pencahayaan hijau ini adalah cara yang ringkas tetapi bermakna untuk memberi inspirasi kepada refleksi dan menggalakkan kebersamaan dalam komuniti kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya Inisiatif ini juga mengukuhkan dedikasi Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. dalam menyumbang kepada masyarakat melalui program-program yang memupuk perpaduan budaya dan sosial.
Program Akan Datang di Menara Kuala Lumpur
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk melibatkan komuniti, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. telah merancang beberapa program menarik sepanjang tahun 2025, termasuk:
• Penyaksian rasmi anak bulan Ramadan dan Syawal – Satu acara tradisi yang penting bagi umat Islam di Malaysia.
• Pertandingan Memasak Bubur Lambuk 2025 – Meraikan tradisi rakyat Malaysia dengan semangat gotong-royong.
• Sesi Iftar “Dari Dapur TEMU” bersama anak-anak yatim dan golongan kurang berkemampuan – Sebagai usaha menyantuni golongan memerlukan sepanjang Ramadan.
Dengan pelbagai inisiatif ini, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. berharap dapat terus menjadi simbol penyatuan masyarakat serta meraikan warisan dan budaya Malaysia.