Menara Kl Ditutup Sementara, MKLSB Tiada Lagi Hak Pengurusan – Kementerian Komunikasi

PUTRAJAYA, 17 April 2025 – Kerajaan MADANI melalui Kementerian Komunikasi hari ini menegaskan bahawa Menara Kuala Lumpur kekal sebagai aset milik penuh kerajaan, dan sebarang operasi selepas 31 Mac 2025 oleh syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) adalah tidak sah dan tanpa kebenaran kerajaan.

Bermula 1 April 2025, tanggungjawab penuh bagi pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur telah diserahkan secara rasmi kepada syarikat LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM).

Pihak kerajaan juga memaklumkan bahawa kehadiran berterusan MKLSB di tapak Menara Kuala Lumpur selepas tarikh tersebut disifatkan sebagai pendudukan haram, menyamai perbuatan menceroboh tanah kerajaan.

Sebagai langkah undang-undang, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan telah mengemukakan dua notis pengosongan kepada MKLSB melalui surat rasmi bertarikh 3 April 2025 dan 9 April 2025. Namun, tindakan MKLSB yang masih meneruskan urus niaga dan operasi sehingga kini adalah melanggar undang-undang dan dilakukan tanpa sebarang mandat atau kebenaran sah daripada kerajaan.

“Kerajaan memandang serius isu ini kerana ia membabitkan soal pemilikan aset negara dan integriti tadbir urus,” kata kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian komunikasi malam ini.

Sehubungan itu, bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengunjung, serta memberi ruang kepada pihak pengurusan baharu menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan, Menara Kuala Lumpur akan ditutup buat sementara waktu.

Tarikh pembukaan semula akan diumumkan dalam masa terdekat menerusi pelbagai saluran media rasmi kerajaan.

Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk memastikan setiap aset negara dikendalikan secara telus, bertanggungjawab dan mengikut lunas undang-undang.

BBerkaitan

Latest articles