KUALA LUMPUR: Bangunan ikonik Menara Ilham setinggi 60 tingkat disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki berkait dengan kes pengubahan wang haram berprofil tinggi.
SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan, tindakan sitaan itu dilakukan selepas mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya melalui Notis Penyitaan Harta Tak Alih mengikut Seksyen 51(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Menurut SPRM, kebenaran sitaan itu diberikan setelah Timbalan Pendakwa Raya berpuas hati bahawa premis terbabit berkemungkinan besar berkait dengan kesalahan di bawah subseksyen 4(1) akta berkenaan.
“Segala urusan berhubung pindah milik harta tidak alih kini dilarang. Kegagalan mematuhi notis ini adalah satu kesalahan serius di bawah undang-undang,” menurut kenyataan rasmi SPRM.
Menara Ilham yang dibina pada tahun 2015 dengan ketinggian 274 meter, dikatakan milik keluarga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Bangunan mewah itu menempatkan hotel bertaraf empat bintang, pejabat korporat, galeri seni, medan selera dan apartmen mewah.
Sebanyak 33 tingkat digunakan sebagai ruang pejabat, menjadikan Menara Ilham antara hartanah komersial paling premium di ibu negara.