KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan pemimpin UMNO sekarang adalah waktu untuk menumpukan sepenuh perhatian memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan tidak memikirkan soal pemilihan parti.
Perdana Menteri berkata, UMNO mempunyai tempoh enam bulan selepas PRU15 untuk mengadakan pemilihan parti seperti diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Naib Presiden UMNO itu berkata, jika isu siapa bakal dipilih menjadi kepimpinan tertinggi parti dibangkitkan ketika ini, ia hanya menyebabkan perbalahan dalaman parti dan menyukarkan Barisan Nasional (BN) untuk menang PRU15.
“Saya tidak menjadi Presiden UMNO ketika saya menjadi Perdana Menteri dan tidak perlu bincang soal pemilihan parti ketika sedang berkempen.
“Saya tidak mahu isu pemilihan parti ketika pilihan raya akan mengganggu dan menyebabkan kita bertelagah serta merugikan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Penduduk Mengkarak Station, hari ini.
Baru-baru ini, calon BN di Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin menyasarkan untuk menjadi Perdana Menteri dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Sementara itu, Ismail Sabri memberi jaminan beliau tidak akan menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk menjadi batu loncatan bagi merebut jawatan Presiden UMNO.
Beliau juga menafikan wujudnya kumpulan antara beliau, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin bagi menghadapi pemilihan parti kelak.
“Saya tidak pernah sentuh dan menggunakan kedudukan dalam soal pemilihan parti. Ketika cadangan pemilihan dibangkitkan, saya bangun menyokong ketika ramai anggap ROS akan tolak.
“Jika saya gunakan kepentingan (sebagai Perdana Menteri), saya boleh minta ROS menolak penangguhan dan lawan jawatan Presiden,” katanya.