Menang Di Sungai Buloh Bawa Pembaharuan Imej UMNO

SUNGAI BULOH: UMNO perlu berani bertanding di kawasan bandar supaya ia tidak selamanya disinonimkan sebagai parti luar bandar.

Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin berkata pencalonannya di sana membawa misi untuk menang, sekaligus akan mewakili suara mereka yang berhijrah ke bandar dengan permasalahan semasa.

“Saya mahu UMNO-BN berani dan mampu menawarkan khidmat kita di kawasan bandar kalau semua pemimpin UMNO-BN pergi ke kawasan selamat, tidak ada siapa datang sini untuk lawan di kawasan bandar.

“Bila begitu, selama-lamanyalah kita jadi parti luar bandar, tidak salah tapi apa akan jadi dengan bandar. Sebab 77 peratus penghijrahan dari luar bandar ke bandar di Malaysia,” katanya ketika ditemui di Majlis perjumpaan bersama jentera BN Sungai Buloh di pejabat UMNO Bahagian Sungai Buloh.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan itu sedar bahawa beliau merupakan calon ‘under dog’ ei Sungai Buloh, Khairy bagaimanapun nekad mahu mengekalkan kemenangan bertanding di Parlimen buat kali keempat.

“Bukan senang saya nak datang sini, saya terpaksa berusaha. Kalau saya buat kerja, sangat banyak. Saya tidak datang ke sini untuk kalah walaupun saya tahu kita kalah lebih 20,000 majoriti undi di sini sebelum ini.

”Tidak ada siapa nak masuk kandang naga. Tapi kali ini kita mesti menang. Tiga kali berturut-turut kita kalah kali ini saya datang dengan harapan.

“Saya juga datang sebab ini kawasan bandar. Saya tidak mahu kawasan-kawasan bandar tidak menjadi kawasan tumpuan semasa di bawah pimpinan BN,” ujarnya.

Sehubungan itu Khairy komited akan bekerja keras bersama jentera sehingga hari pengundian kelak.

“Kita jangan jadi penumpang dalam BN. Jangan jadi pelengkap hanya letak calon sahaja, kita hadir untuk menang bukan untuk bertanding semata-mata,” tambahnya lagi.

Ketibaannya pada 8.30 malam tadi disambut meriah dengan sorakan oleh para petugas jentera yang memenuhi perkarangan Pejabat UMNO Bahagian Sungai Buloh.

Menggunakan slogan Kita Jaga Sungai Buloh (KJ Sg Buloh), Khairy berkata, beliau akan mengumumkan manifesto khusus untuk Parlimen itu minggu depan.

Antara yang akan disentuhnya adalah aspek pendidikan dan kebajikan pengundi di kawasan berkenaan.

Khairy menegaskan tidak akan menjanjikan perkara-perkara yang tidak akan dilakukannya seperti pemansuhan tol.

“Jangan minta saya janji hapuskan tol, saya hanya buat janji yang masuk akal sahaja. Saya tidak akan menipu pengundi Sungai Buloh,” tambah beliau.

BBerkaitan

Latest articles