Menang Di Bertam, Reezal Hargai Sokongan Dan Kepercayaan Pengundi

KUALA LUMPUR: Tewas di Parlimen Kepala Batas pafa PRU15 lalu, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menarik nafas lega apabila terus diberikan kepercayaan untuk menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam pada Pilihan Raya Negeri hari ini.

Untuk rekod, Reezal menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas selama 10 tahun dari 2013 hingga 2022, sebelum kerusi itu ‘dirampas’ Perikatan Nasional, November tahun lalu.

Reezal percaya kemenangan beliau pada PRN Pulau Pinang ini adalah habis permuafakatan rakan-rakan Kerajaan Perpaduan.

“Dulu Barisan Nasional (BN) sahaja bantu saya dalam setiap kempen, tetapi sekarang saya mendapat bantuan daripada rakan-rakan Pakatan Harapan (PH) .

“Kedudukan saya kini lebih ‘representative’ kerana saya mendapat dokongan orang Melayu, Cina dan India pada kali ini.

“Saya berasa sangat puas dan merasakan ini kemenangan yang sangat bermakna dalam keadaan senario politik sekarang,” katanya kepada pemberita selepas diisytiharkan menang sebagai ADUN Bertam malam tadi di Dewan Milenium.

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut diminta mengulas sama ada akan berjumpa dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow untuk membincangkan mengenai keanggotaan jawatan dalam kerajaan negeri seperti jawatan Exco.

Reezal berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada budi bicara kepimpinan tertinggi parti UMNO-BN untuk membincang dan memutuskannnya kemudian.

“Apa yang saya anggap sangat penting adalah, telah letakkan sandaran awal untuk menang DUN Bertam ini dan saya nak kehadiran saya ini sebagai wakil rakyat Bertam membantu dalam pembentukan kerajaan Perpaduan negeri ini.

“Chow mahu cari seorang rakan kongsi yang kuat, kredibel, berwawasan dan bermaruah daripada parti yang memperjuangkan Melayu, dan Alhamdulillah saya dapat menyumbangkan kemenangan di Bertam hari ini.

“Oleh kerana dua kerusi DUN iaitu Penaga dan Pinang Tunggal sekali lagi kekal milik pembangkang maka kehadiran saya sebagai wakil Bertam sangat penting untuk memastikan wadah perjuangan dan pembangunan Bertam bersama kerajaan negeri,” tegasnya.

Untuk rekod, DUN Bertam disandang oleh calon Perikatan Nasional, Khaliq Mehtab sejak 2018.

BBerkaitan

Latest articles