KUALA SELANGOR: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mahu setiap pihak menghormati sistem pilihan raya di negara ini.
Begitu juga apabila melibatkan pengundi yang pertama kali dalam memilih wakil rakyat, pemilihan tersebut perlu mengambil kira faktor khidmatnya apabila diberi mandat.
“Tetapi yang penting, sesiapa yang menang atau kalah, inilah prinsip demokrasi.
“Kita kena hormat apa yang rakyat mahu. Bagi saya hari ini rakyat akan menentukan siapa yang menjadi wakil untuk mereka,” katanya kepada pemberita, selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor, kira-kira jam 8.15 pagi tadi.
Beliau ditemani isteri, Raja Datin Seri Johanna Adrian Raja Arshad.
Kerusi P096 Kuala Selangor menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan penyandang iaitu, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkeflfly Ahmad.
Dzulkefly akan ditentang Tengku Zafrul yang mewakili BN, selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mohd Shaid Rosli dan Timbalan Yang Dipertua Pas, Mohd Noor Mohd Sahar daripada Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, Tengku Zafrul berharap pengundi kawasan itu dapat mengekalkan peratusan keluar mengundi yang tinggi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, ini kerana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, peratusan keluar mengundi di Parlimen Kuala Selangor tinggi sehingga mencecah 80 peratus.
“Harapan saya ramai yang keluar mengundi terutama Kuala Selangor.
“Sebelum ini memang peratusan keluar mengundi di Kuala Selangor tinggi iaitu 80 peratus,”
Beliau mengakui PRU15 berbeza dengan pilihan raya sebelum ini susulan pengundian kali ini akan melibatkan 1,393,549 pemilih berusia 18 hingga 20 tahun.
“Kali ini berbeza sedikit kerana ada pengundi baharu, undi 18 dan undi automatik
“Saya nak lihat berapa ramai pengundi baharu, pengundi 18 dan pengundi automatik yang keluar mengundi hari ini.
“Lebih ramai pengundi keluar mengundi lebih bagus kerana inilah sistem demokrasi kita,” ujarnya.