Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman sekali lagi membidas sikap berdiam diri ketua menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal terhadap tuntutan Filipina ke atas negeri itu, baru-baru ini.
Tegas Anifah, isu itu amat sensitif di kalangan rakyat Sabah dan Shafie seharusnya mengambil pendekatan lantang untuk menghentikan segala bentuk tuntutan dari negara jiran itu sekaligus memberi keyakinan kepada rakyatnya.
Malah beliau juga mengingatkan Shafie untuk tidak terus berangan-angan menjadi ketua menteri sekali lagi jika isu kedaulatan negeri dianggap remeh baginya.
“Jika kedaulatan Sabah pun bukan menjadi keutamaan Shafie dan setiap pendirian yang dituntut dianggap sebagai propaganda maka Shafie tidak layak untuk menjadi ketua menteri kerana mana-mana ketua menteri pasti akan menjadi orang pertama yang membuat kenyataan apabila isu seperti tuntutan Filipina itu timbul,” katanya.
Anifah berkata demikian sebagai mengulas ciapan di Twitter setiausaha perhubungan luar Filipina, Teodoro Locsin Jr pada bulan lalu yang hangat menimbulkan perdebatan di kalangan rakyat Sabah.
“Sebagai pemimpin tertinggi di Sabah, kamu harus memberi respons kerana kenyataan Locsin itu membuatkan orang Sabah marah, kamu berhutang penjelasan dengan orang Sabah kerana hanya berdiam diri sebelum ini.
“Sebaliknya, Shafie hanya membiarkan bekas menteri undang-undang, VK Liew memberi respons terhadap tuntutan itu. Saya tidak berminat untuk mendengar apa yang kamu (Shafie) dan kerajaan kamu telah lakukan terhadap isu itu, apa yang saya katakan kenapa senyap? Apa yang kamu takutkan?,” demikian memetik kenyataan medianya.
Bekas menteri luar itu juga membidas Shafie yang mendakwanya tidak mengambil sebarang tindakan tegas sewaktu memegang jawatan itu.
Tidak seperti Shafie, ujar Anifah, beliau mengambil pendekatan untuk berjumpa dengan pimpinan Filipina untuk membangkitkan pendirian Malaysia terhadap Sabah.
“Sebagai menteri luar, saya beberapa kali berjumpa dengan rakan sejawat di Filipina dan saya juga beberapa kali membangkitkan isu ini.
“Walaupun saya telah melakukan apa yang diperlukan untuk menanganinya setiap kali isu ini timbul, saya tidak pernah melupakan kenyataan yang Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan Filipina itu.
“Rakyat Malaysia juga tertanya-tanya apabila Shafie ketika dalam sidang Parlimen pada 2016 menyuarakan mengenai isu itu dan mahukan ia diselesaikan.
“Apa yang mahu diselesaikan kerana pada dasarnya negara ini tidak pernah mengiktiraf tuntutan Filipina itu, adakah Shafie sendiri memperakuinya (tuntutan Filipina)? ini semua tercatat dalam hansard,” katanya.