Memahami perkara sebenar perkara 20, MA63, & keistimewaan bab 3 laporan IGC

MEMAHAMI ERTI SEBENAR PERKARA 20, MA63, & KEISTIMEWAAN BAB 3 LAPORAN IGC

Oleh: Raj Akbar SAC Logan

Perbezaan pendapat mengenai hak Sabah di dalam Perkara 20 dan hak Sabah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963. Pendapat saya tentang mengapakah terdapatnya perbezaan pendapat tersebut.

Memorandum 20 Perkara dan juga Perjanjian Malaysia 1963 adalah dua dokumen yang berasingan ataupun berlainan antara satu dengan yang lain, yang mempunyai matlamat serta justifikasi masing-masing yang tersendiri.

Namun begitu, secara keseluruhannya kedua- dua dokumen ini sebenarnya secara jelas telah menggariskan perkara-perkara asas yang penting (ataupun dianggap sebagai penting) untuk memastikan hak Sabah (dan rakyatnya) terus kekal terjamin apabila persekutuan baru yang bakal dinamakan Malaysia itu kemudiannya berjaya dibentuk.

Untuk membolehkan kita lebih memahami topik ini, perhatian perlu diberikan terhadap dua kata kunci utama dalam perenggan pertama di atas iaitu “perkara-perkara asas yang penting” dan juga “perkara-perkara asas yang dianggap sebagai penting”.

Dengan kata lain, Memorandum 20 Perkara (ataupun secara luasnya lebih dikenali sebagai Perkara 20) itu adalah satu dokumen yang menggariskan perkara-perkara asas yang dianggap sebagai penting oleh pemimpin-pemimpin serta masyarakat Sabah ketika itu, bagi menjamin hak Sabah (dan juga rakyatnya) kekal terjaga walaupun selepas Persekutuan Malaysia berjaya dibentuk.

Manakala Perjanjian Malaysia 1963 (ataupun secara luasnya lebih dikenali sebagai MA63) itu pula, adalah satu dokumen yang menggariskan perkara-perkara asas yang benar-benar penting dalam usaha untuk menjamin hak Sabah (dan juga rakyatnya) supaya terus kekal terjaga selepas Persekutuan Malaysia berjaya dibentuk.

Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ini merupakan satu dokumen yang sah yang mempunyai nilai eksklusif serta mempunyai keabsahan undang-undang (legal binding), yang mana isi-isi kandungannya ditulis berdasarkan saranan-saranan yang terdapat di dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan / Inter-governmental Committee (IGC).

Manakala Memorandum 20 Perkara itu pula diwujudkan ataupun dibuat oleh pemimpin- pemimpin politik di Sabah pada ketika itu sebagai mewakili aspirasi rakyat Sabah semasa proses pembentukan Gagasan Persekutuan Malaysia.

Memorandum tersebut telah dibentangkan oleh pakatan lima parti politik utama Sabah kepada Jawatankuasa Antara Kerajaan / Inter-governmental Committee (IGC) yang telah ditubuhkan untuk mengenal pasti dan merangka draf Perlembagaan untuk Persekutuan Malaysia yang baru, dengan mengambil kira saranan-saranan daripada Suruhanjaya Cobbold yang telah menggariskan beberapa keistimewaan tertentu, hak autonomi negeri, serta perlindungan dan kedudukan khas Sabah dan Sarawak.

Dengan kata lain, Memorandum 20 Perkara ini merupakan perlindungan perlembagaan yang paling minima yang digariskan oleh pakatan beberapa parti politik (yang sebenarnya belum pernah menerima sebarang mandat rasmi melalui proses pilihanraya) di Sabah.

Wakil-wakil Sarawak juga telah membentangkan Perkara 18 mereka untuk tujuan yang sama.

Maka daripada penjelasan itu, dapatlah dirumuskan bahawa hak-hak Sabah yang terkandung di dalam Memorandum 20 Perkara itu sebenarnya hanyalah hak-hak yang berdasarkan kepada pendapat serta pandangan daripada pemimpin-pemimpin yang mewakili Sabah dalam sebarang perundingan melibatkan proses pembentukan Gagasan Persekutuan Malaysia.

Sedangkan hak-hak Sabah yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pula adalah lebih menyeluruh lagi, merangkumi segala aspek seperti aspek perundangan, politik, ekonomi, dan juga sosio budaya.

Kandungan Perjanjian Malaysia 1963 juga turut mengambil kira hampir keseluruhan isi kandungan Memorandum 20 Perkara itu sendiri (walaupun bukan semua).

Justeru, bolehlah disimpulkan bahawa hak-hak Sabah yang digariskan di dalam Perjanjian Malaysia 1963 ini merupakan hasil akhir yang dipersetujui secara kolektif ataupun bersama- sama oleh semua pihak yang terlibat, selepas siri-siri perbincangan serta perundingan yang panjang.

Rundingan dan konsultasi yang bermula daripada empat siri mesyuarat kelolaan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM) yang telah diadakan di Jesselton, Kuching, Kuala Lumpur, dan juga di Singapura.

Siri-siri mesyuarat kelolaan JPPM ini menyaksikan buat pertama kalinya wakil-wakil dari Sabah dan Sarawak diberikan peluang untuk menyuarakan pandangan dan memberikan cadangan untuk dipertimbangkan oleh mesyuarat.

Malah hasil dapatan melalui mesyuarat-mesyuarat inilah yang kemudiannya membawa kepada tertubuhnya Suruhanjaya Cobbold yang berperanan menjalankan kajian serta pungutan suara atau tinjauan sambutan daripada masyarakat Sabah dan Sarawak terhadap idea pembentukan Gagasan Persekutuan Malaysia ini.

Untuk tujuan itu, Suruhanjaya Cobbold pun menjelajah ke seluruh pelusuk Sabah dan Sarawak, mengadakan kira-kira 690 perjumpaan, bertemu dengan tidak kurang daripada 4000 orang, serta menerima sejumlah 2200 surat dan cadangan daripada anak-anak jati Sabah dan Sarawak, yang berkisar tentang hak-hak negeri masing-masing.

Suruhanjaya ini kemudiannya telah menghantar laporan akhir mereka berdasarkan dapatan yang diperolehi melalui tinjauan dan kajian yang mereka laksanakan antara 19 Februari hingga 17 April 1962.

Laporan tersebut mengandungi saranan dan cadangan lengkap tentang hak-hak istimewa Sabah dan Sarawak yang perlu dipelihara sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia.

Suruhanjaya ini juga beranggapan bahawa tiada sebarang keperluan untuk menggubal sebuah Perlembagaan Persekutuan yang baru, sebaliknya memadai dengan hanya memasukkan terma-terma pindaan kepada perlembagaan yang asal iaitu Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Bagi Suruhanjaya ini, tiada satu pun hak Sabah atau Sarawak yang akan terjejas sama ada ianya adalah satu Perlembagaan yang baru ataupun hanya sekadar sebuah pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Laporan tersebut diserahkan kepada Perdana Menteri Britain yang kemudiannya menubuhkan pula sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk merangka dan memasukkan pindaan-pindaan khusus berkaitan Singapura, Sabah dan Sarawak ke dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 untuk dijadikan Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963.

Jawatankuasa itu dinamakan sebagai Jawatankuasa Antara Kerajaan / Inter- governmental Committee (IGC).

Ekoran daripada laporan Suruhanjaya Cobbold yang diserahkan kepada Perdana Menteri Britain itu jugalah, maka pemimpin-pemimpin politik di Sabah mengambil inisiatif untuk merangka sebuah memorandum yang bertujuan untuk merayu supaya pihak British dapat mempertimbangkan semula beberapa cadangan yang tidak diterima oleh Suruhanjaya Cobbold dalam laporan akhir mereka.

Antara cadangan oleh perwakilan Borneo (Sabah) yang tidak diterima oleh Suruhanjaya Cobbold itu termasuklah cadangan yang memohon agar terma yang digunakan dalam sebarang mesyuarat, dokumentasi, perjanjian, mahupun perlembagaan itu nanti, dapat merujuk Borneo Utara (Sabah) dan juga Sarawak sebagai menyamai taraf keseluruhan Tanah Melayu dan bukannya sekadar dua buah negeri seperti negeri-negeri di Tanah Melayu.

Selain itu, satu lagi cadangan yang tidak diterima ialah cadangan yang meminta supaya Perlembagaan Persekutuan Malaysia itu bukan merupakan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 semata-mata, sebaliknya adalah Perlembagaan yang digubal secara berasingan. Maka dengan itu wujudlah sebuah memorandum yang dipanggil sebagai Memorandum 20 Perkara.

Memorandum 20 Perkara (dan 18 Perkara bagi Sarawak) itu dikemukakan kepada Jawatankuasa Antara Kerajaan / Inter-governmental Committee (IGC) sebagai suatu bentuk rayuan. Ini kerana secara prinsipnya, sebagai wilayah-wilayah yang masih tergolong di bawah klasifikasi ‘Tanah Jajahan’, Sabah dan Sarawak tidak mempunyai hak untuk menentukan nasib sendiri.

Kedua-dua wilayah ini masih bergantung sepenuhnya kepada budibicara pihak British.

Walau bagaimanapun, selepas menerima memorandum-memorandum tersebut, Jawatankuasa Antara Kerajaan / Inter-governmental Committee (IGC) telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bersama pemimpin-pemimpin di kedua-dua wilayah itu antara bulan Oktober hingga Disember 1962.

Akhirnya laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan / Inter- governmental Committee (IGC) ini berjaya disiapkan pada 27 Februari 1963. Ia kemudiannya telah diterima dan disahkan oleh Majlis Negeri Sarawak (pada 8 Mac 1963), dan juga oleh Majlis Perundangan Borneo Utara (pada 13 Mac 1963).

Malah penerimaan usul serta pengesahan daripada kedua-dua Badan Perundangan ini jugalah merupakan saluran perundangan yang membolehkan laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan / Inter- governmental Committee (IGC) itu diwartakan.

Pewartaan laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan / Inter-governmental Committee (IGC) ini secara langsungnya telah menghapuskan nilai eksklusif Memorandum 20/18 Perkara itu.

Ini kerana, perkara paling asas yang disarankan oleh kedua-dua Memorandum (berkenaan Perlembagaan baru yang bukan sekadar pindaan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957) itu pun masih tidak diperakui atau diterima di dalam laporan akhir Jawatankuasa Antara Kerajaan / Inter-governmental Committee (IGC) tersebut.

Sebaliknya, laporan itu mengesahkan bahawa Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah merupakan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, sebagaimana yang disarankan oleh Laporan Suruhanjaya Cobbold sebelumnya.

Seterusnya laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan / Inter-governmental Committee (IGC) juga menetapkan bahawa Sabah dan Sarawak merupakan dua buah negeri yang menyamai 11 buah negeri di Tanah Melayu.
Namun begitu, laporan ini memperuntukkan hak-hak autonomi yang jauh lebih komprehensif, yang merangkumi 14 perkara dan akan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Antara 14 perkara itu termasuklah dalam bidang pelajaran, bahasa inggeris sebagai Bahasa Rasmi Negeri, Borneonisasi dalam perkhidmatan awam, autonomi bagi imigresen, dan juga kuasa autonomi dalam menguruskan kewangan serta percukaian. Saranan hak autonomi yang diberikan kepada kedua-dua wilayah ini akan menjadikannya lebih istimewa berbanding negeri-negeri lain di Tanah Melayu.

Hasil laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan / Inter-governmental Committee (IGC) ini seterusnya dijadikan asas kepada semua peruntukan dan terma yang dimasukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang mengandungi 235 muka surat itu.

Perjanjian ini ditandatangani oleh perwakilan dari British, perwakilan dari Tanah Melayu, perwakilan dari Singapura, perwakilan dari Sabah dan perwakilan dari Sarawak, di London pada 9 Julai 1963.

Segala kandungan serta isi perjanjian ini kemudiannya telah diserapkan ke dalam pindaan- pindaan yang dilakukan ke atas Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, terutamanya perkara-perkara yang menyentuh tentang hak-hak istimewa Sabah dan juga Sarawak.

Jawatankuasa Antara Kerajaan / Inter-governmental Committee (IGC) sudah menggabungkan atau memasukkan perlindungan-perlindungan ataupun terma-terma Perkara 20 dan 18 ini semasa mereka membuat pindaan-pindaan relevan terhadap Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 ketika itu.

Semua pindaan perlembagaan ini boleh dilihat di dalam Bab 3 Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan / Inter-governmental Committee (IGC).

Dari sudut perundangan, Memorandum 20 Perkara ini hanya dilihat sebagai satu permintaan yang menyenaraikan perkara-perkara minima sebagai perlindungan khas ke atas Sabah di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, dan bukanlah sebuah dokumen undang-undang yang boleh mengikat atau berkuasa.

Ianya cuma relevan untuk menjadi bahan rujukan apabila Mahkamah tidak boleh mentafsirkan Perlembagaan Malaysia ataupun Perjanjian Malaysia secara tepat.

Artikel 8 dalam Perjanjian Malaysia teramat penting kerana ia mewajibkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak untuk mengambil langkah-langkah perundangan ataupun eksekutif untuk merealisasikan pengesyoran yang terkandung di dalam Bab 3 Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan / Inter-governmental Committee (IGC) (Lampiran A dan B) sekiranya ia tidak dilindungi atau tercicir semasa pemuktamadan Perlembagaan Malaysia.

Oleh itu, sekiranya salah satu Perkara 20 tidak diambil kira oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan / Inter-governmental Committee (IGC) dan tidak juga tertulis di dalam pengesyoran Bab 3 Laporan tersebut, maka Perkara itu tidak lagi boleh dianggap sebagai relevan.

Hak-hak yang termaktub di dalam Memorandum 20 Perkara bergantung kepada Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan / Inter-governmental Committee (IGC) yang menjadi sumber asas untuk Perjanjian Malaysia dan seterusnya Perlembagaan Malaysia.

Sebagai contoh, salah satu isi dalam Memorandum 20 Perkara yang tidak direkodkan ke dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan / Inter-governmental Committee (IGC) ialah perkara ketiga yang mengharuskan setiap pindaan terhadap Perlembagaan Sabah perlu mendapat persetujuan rakyat (melalui referendum).

Namun ini tidak dilihat di dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan / Inter-governmental Committee (IGC). Maka dengan itu, perkara ketiga ini tidak lagi dikira relevan terutamanya di masa sekarang.

Kita seharusnya mengkaji Bab 3 dari Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan / Inter- governmental Committee (IGC) untuk mengenal pasti pengesyoran mana yang belum lagi dikuatkuasakan untuk melindungi hak dan kedudukan Sabah dalam Malaysia. Dan bukannya

menguatkuasakan Perkara 20 kerana ia bukannya dokumen undang-undang yang relevan lebih-lebih lagi pada masa kini.

Tidak dinafikan akan betapa pentingnya penerangan dan penjelasan berkenaan isu ini disampaikan kepada masyarakat terutamanya generasi muda, sebagai usaha kita untuk mengelak mereka keliru atau dikelirukan.

Ada pihak yang mendakwa kononnya hak Sabah dicabuli. Padahal jika disemak, rupanya yang mereka jadikan rujukan adalah Memorandum 20 Perkara yang pada hakikatnya hanya mengandungi 4 muka surat sahaja. Kerana ianya hanya sekadar satu memorandum.

Berbanding sekiranya mereka merujuk kepada Perjanjian Malaysia yang terdiri daripada 235 muka surat, sudah tentunya mereka akan lebih memahami isu yang seringkali dijadikan sebagai modal berpolitik oleh golongan-golongan tertentu yang tidak menghargai sejarah serta aspirasi Gagasan Persekutuan Malaysia itu sendiri.

Secara ringkasnya, kedua-dua dokumen yang dibincangkan di sini iaitu Memorandum 20 Perkara dan juga Perjanjian Malaysia 1963 wujud atas satu matlamat yang sama.

Iaitu untuk menjamin hak Sabah menerusi Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Setelah melalui proses yang penuh dengan pelbagai bentuk mehnah dan tribulasi, akhirnya Malaysia berjaya dibentuk dan hak-hak Sabah secara keseluruhannya berjaya terpelihara hingga ke hari ini.

Yang penting adalah semangat saling hormat-menghormati serta bersatu hati dalam sebuah semangat kesatuan yang tinggi. Perbezaan intepretasi adalah perkara biasa. Pokoknya, sebagai orang Sabah, kita harus sama-sama memelihara kepentingan dan keistimewaan yang ada seperti yang dipersetujui bersama semasa merdeka dahulu.

BBerkaitan

Latest articles