Memahami Konsep Kebebasan Bersuara di Malaysia

Kuala Lumpur, – Hak kebebasan bersuara di Malaysia sentiasa dijamin oleh kerajaan, namun ia bukanlah hak mutlak yang bebas daripada batasan dan kawalan undang-undang. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan, Malaysia memberi ruang kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan mereka, tetapi dalam lingkungan peraturan bagi memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum terpelihara.

Perlembagaan Malaysia menjamin kebebasan bersuara, namun ia turut menetapkan batasan tertentu bagi mengelakkan penyalahgunaan hak tersebut. Isu berkaitan 3R (agama, kaum, dan institusi diraja) dikawal rapi bagi mengelakkan sebarang ketegangan yang boleh menjejaskan kestabilan negara.

Dalam konteks masyarakat sivil, kebebasan bersuara yang tidak terkawal boleh membawa kepada ketidakstabilan, malah boleh mencetuskan kekacauan jika tidak dikawal dengan perundangan yang sewajarnya. Islam sendiri menganjurkan kesederhanaan dalam semua aspek kehidupan, termasuk dalam mengamalkan kebebasan bersuara, menekankan bahawa kebebasan ini tidak boleh bersifat mutlak.

Peningkatan Kes Isu 3R di Malaysia

Pada September tahun lalu, Ketua Penolong Pengarah Pendakwaan dan Undang-Undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (D5), Datuk Mohamad Zainal Abdullah, dalam satu podcast Kementerian Dalam Negeri (KDN), mendedahkan bahawa sejak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) ditubuhkan pada 2014, pihak polis telah menyiasat lebih daripada 5,600 kes berkaitan isu 3R. Dengan perkembangan teknologi dan penggunaan media sosial yang semakin meluas, ancaman berkaitan isu ini semakin kompleks dan memerlukan kawalan lebih ketat.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, pula menegaskan bahawa kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan pemantauan proaktif terhadap kandungan dalam talian yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik yang melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Beliau turut menyatakan bahawa MCMC bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tindakan seperti menurunkan kandungan media sosial, menyekat laman sesawang, serta bantuan teknikal dalam analisis forensik digital bagi mempercepatkan siasatan kes perjudian dalam talian di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 [Akta 289].

Dari tahun 2022 sehingga 15 Januari 2025, sebanyak 18,192 kandungan jelik, termasuk iklan di platform media sosial, telah diturunkan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan internet. Selain itu, 40 laman sesawang disekat berdasarkan maklumat dan aduan orang awam, manakala sebanyak 5,026 laman sesawang judi dalam talian telah disekat dan 216,085 kandungan berkaitan perjudian dalam talian diturunkan di platform media sosial.

Kepentingan Keseimbangan dalam Kebebasan Bersuara

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Ahmad Faisal Mohamed Fiah, menekankan bahawa keseimbangan dalam kebebasan bersuara amat penting bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara. Beliau menyatakan bahawa setiap individu berhak bersuara, tetapi hak tersebut harus dipraktikkan dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat berbilang kaum.

“Jaminan kebebasan bersuara sudah diberikan melalui peruntukan undang-undang dalam Perlembagaan negara. Namun, undang-undang juga berfungsi sebagai garis panduan untuk memastikan kebebasan itu diamalkan dengan bertanggungjawab dan selaras dengan keperluan menjaga kestabilan negara,” katanya.

Ahmad Faisal turut mengingatkan bahawa ancaman terhadap kesejahteraan negara bukan sahaja datang dari dalam negara tetapi juga dari luar. Ancaman ini boleh tersebar melalui pelbagai medium komunikasi, termasuk media sosial dan platform digital. Jika tidak dikawal, ia boleh memberi kesan buruk kepada kestabilan negara.

“Ancaman boleh datang dalam pelbagai bentuk dan dari pelbagai sudut, sama ada dari dalam atau luar negara. Sekiranya tiada pemantauan yang berkesan, kita mungkin akan berdepan dengan ancaman yang tidak dijangka, yang akhirnya boleh membahayakan negara,” tambahnya.

Secara keseluruhannya, kebebasan bersuara di Malaysia adalah hak yang dijamin, tetapi ia perlu diamalkan dengan bertanggungjawab bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan negara terus terpelihara.

BBerkaitan

Latest articles