Melampau Dalam Soal Melayu, Islam Punca PAS Putus Kerjasama Dengan DAP

PAS mula merasakan sesuatu yang ‘kurang baik’ dalam kerjasamanya bersama DAP suatu ketika dahulu selepas parti itu bersikap melampau dan cuba mengubah dasar-dasar dalam Perlembagaan Persekutuan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti pimpinan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng itu masuk campur dalam urusan agama Islam dan kepentingan orang Melayu.

Sedangkan kesemua parti sudah sudah maklum dengan matlamat asal ketika mahu membentuk kerjasama antara parti ketika di dalam Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR).

“Pengalaman kami dengan DAP adalah hanya untuk mendapatkan kemenangan dalam pilihan raya sahaja. Bila sampai nak realisasikan Perlembagaan terdapat percangggahan. Contohnya kita nak tegakkan Islam menghormati agama lain, Perlembagaan menyebut hak orang Islam menegakkan agamanya tanpa ganggu agama lain.

“Bila kita nak laksanakan hukum Islam mereka gelabah dan tak setuju…padahal kita tak ganggu hak dia tapi dia ganggu hak kita,” katanya menerusi Program bual bicara bertajuk “Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita” anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) yang dibuat secara dalam talian, hari ini.

Bukan itu sahaja, selain mempertikai penggunaan Bahasa Melayu yang sememangnya menjadi bahasa kebangsaan di Malaysia, Abdul Hadi turut mendedahkan usaha DAP yang mencampuri urusan Raja-Raja Melayu dimana institusi beraja merupakan tonggak kepada keseluruhan umat Melayu di negara ini.

“Dan lebih melampau lagi bila DAP ini menang pilihan raya sesama bersama Pakatan Harapan. Usaha-usaha mengubah Perlembagaan itu berlaku. Jadi, dengan sebab itu lebih terang dan nyata kita  tidak perlu bekerjasama dengan mereka,” ujarnya.

Begitu juga dengan cadangan DAP mahu mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan.

Tegas Abdul Hadi, jika kemahuan DAP itu diturutkan ia sudah pasti akan mengundang bala kepada orang Melayu kerana rata-rata yang tinggal di kawasan bandar adalah kaum Cina.

BBerkaitan

Latest articles