Mekanik Didakwa Rogol Remaja Bawah Umur Mengaku Tidak Bersalah

ALOR GAJAH: Seorang mekanik berusia 25 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang pelajar sekolah di Kampung Air Molek, Kuala Sungai Baru, pada April lalu.

Tertuduh, Muhamad Asyraf Ramli, bagaimanapun menafikan pertuduhan selepas ia dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Aiza Khairuddin.

Menurut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa yang berusia 15 tahun 11 bulan di sebuah rumah di kampung berkenaan sekitar jam 11.30 malam, 1 April lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain, mencadangkan jaminan RM30,000 dengan syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding.

Namun, tertuduh yang hadir tanpa peguam memohon jumlah jaminan diringankan dengan alasan dia berasal daripada keluarga susah dan merupakan satu-satunya pencari nafkah.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Oktober depan.

BBerkaitan

Latest articles