Megat Zulkarnain Hanya Mahu Jadi ADUN, Tak Berminat Ganti Amirudin

KUALA LUMPUR: Tular sejak semalam adalah satu poster yang bertajuk “Amirudin bakal diganti, Megat MB Selangor baharu?” sehingga menimbulkan banyak cakap-cakap dalam kalangan pengundi dua calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) itu.

Diminta mengulas hal itu, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia menegaskan beliau tidak berhasrat untuk memegang apa-apa jawatan di peringkat kerajaan negeri, apatah lagi dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.

Pengerusi BN Selangor itu juga menyifatkan dakwaan bakal menggantikkan Datuk Seri Amirudin Shari adalah permainan politik yang jijik dan tidak laku yang dilakukan oleh pihak lawan yang terdesak.

“Saya fikir mereka terlalu terdesak, mereka sudah tiada lagi strategi lain akhirnya terpaksa melaga-lagakan BN dan Pakatan Harapan (PH), tetapi saya fikir ini satu perbuatan yang orang tahu siapa buat.

“Dengan jelas, saya tidak berminat, walaupun itu jawatan Menteri Besar atau Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri kerana saya hanya ingin menjadi seorang ADUN.

“Selebihnya akan meneruskan perkhidmatan saya sebagai Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah untuk membantu kampung dan desa di Selangor khusunya Gombak Setia,” katanya selepas Ceramah Perdana Arus Merah Kuning Dun Gombak Setia di Tapak Uptown Sri Gombak, malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony.

Berkata kepada pemberita, Megat Zulkarnain menegaskan bahawa kedua-dua gabungan Kerajaan Perpaduan telah sepakat bahawa Amirudin sebagai calon Menteri Besar sepertimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Saya tidak pernah terfikir pun jawatan itu, apa yang penting kita mahu memastikan Kerajaan Perpaduan terus memimpin Selangor dan kita sudah bersetuju (Aminuddin kekal sebagai menteri besar).

“Saya juga sudah berulang kali menyatakan kita mendokong dan memastikan Amirudin kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

“Saya (ingin) menasihatkan mereka supaya lebih praktikal dan janganlah main politik yang kelakar seperti ini. Rakyat tidak berminat dan mereka (parti lawan) tahu tidak mampu bersaing dengan jentera.

“Data juga menunjukkan kita dan calon-calon lain Kerajaan Perpaduan di landasan yang betul untuk menang pada 12 Ogos ini. Jadi hentikanlah permainan politik seperti ini,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles