Pertemuan yang berlangsung antara Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menampakkan jalan penyelesaian berhubung pengurusan Stadium Hoki Kuala Lumpur.
Antara lain yang dibincangkan adalah pengurusan PHKL dan perkembangan terkini sukan hoki Kuala Lumpur.
“Pada perjumpaan itu juga saya turut membincangkan perancangan pasukan Sukma Kuala Lumpur dan juga mencari penyelesaian isu yang berkaitan dengan PHKL,” katanya.
Megat turut memuatnaik satu gambar pertemuannya bersama Annuar, menerusi akaun Facebooknya.
Untuk rekod, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menarik pengurusan Stadium Hoki Kuala Lumpur daripada PHKL akibat kegagalan mereka mengikut syarat-syarat yang ditetapkan melalui perjanjian yang telah dimeterai.
PHKL, didapati gagal mengemukakan bayaran bon pelaksanaan berjumlah RM34,000 dan gagal mengemukakan Polisi Insuran Kerja dan Tanggungan Awam kepada DBKL.
Stadium Hoki Kuala Lumpur merupakan aset DBKL yang kemudiannya diurus bersama PHKL menerusi perjanjian bersama daripada tahun 1998 hingga 2013.
Dalam tempoh 15 tahun ini, PHKL dibantu dengan dana RM10,000 bagi yuran pengurusan oleh DBKL.