Megat D Shahriman tawar tanding presiden APSF

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mempunyai impian untuk memacu Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) ke satu tahap yang dipandang lebih tinggi dalam peta sukan dunia.

Justeru itu, beliau yang disokong penuh rakan seperjuangan di MPM bersetuju menawarkan diri bertanding jawatan presiden pada pemilihan APSF yang dijadual berlangsung ketika temasya Sukan Para ASEAN Solo 2022, bulan depan.

Megat berkata beliau mempunyai perancangan untuk memperkukuhkan APSF yang baginya mempunyai banyak lagi ruang penambahbaikan boleh dilakukan sekali gus bergerak seiring dengan zaman.

“Saya rasa, kami sudah melakukan tugas di MPM dengan baik. Mereka dan rakan (di MPM) menjadi pembakar semangat saya kerana apabila kita melihat APSF sendiri, cara (pentadbiran) seperti tidak teratur, tidak ada ketentuan.

“Sudah tujuh tahun Thailand pegang (jawatan presiden). Sepatutnya ada penggiliran iaitu setiap empat tahun. Apabila dia pegang, banyak negara yang tidak berpuashati. APSF juga tidak mempunyai pangkalan pejabat utama seperti BWF (Persekutuan Badminton Dunia) di Malaysia.

“Jadi saya ingin menawarkan beberapa perkara seperti itu, mempunyai pejabat tidak kiralah di mana (Malaysia atau di negara lain) sekiranya saya menang dan sesiapa pun yang menjadi presiden selepas itu, pejabatnya di situ.

“Selain itu, ini zaman teknologi, tiada daripada mereka yang menggunakannya, semuanya masih manual. Jadi ini kekangan dihadapi. Oleh itu, saya fikir mereka perlu mempunyai perubahan kepimpinan untuk membawa ASEAN ke satu tahap lebih baik.

“Untuk itu, saya ingin mmbawwa APSF ke satu tahap yang tinggi dan badan sukan ini dipandang lebih baik dalam peta sukan dunia,” katanya.

Sebelum ini, jawatan presiden APSF disandang Mejar Jeneral Osoth Bhavilai dari Thailand sejak memenangi pemilihan penggal 2016 hingga 2019 di Singapura pada Disember 2015.

MPM Tumpu Sukan PARA ASEAN 2021 – Megat Shahriman

Berita Berkaitan

Komen

Terkini