KUALA LUMPUR: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa semua pihak menghormati prosedur membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memohon untuk mengurangkan hukuman penjaranya.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, di kala semua pihak berusaha membanteras rasuah, namun dalam masa yang sama perlu juga menghormati keputusan yang dibuat oleh Raja, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
“MCW percaya setiap individu, termasuk Najib berhak mendapat peluang yang sama.
“Tambahan pula, sumbangan beliau sebagai bekas Perdana Menteri tidak boleh diabaikan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan MCW menyusul selepas Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) membantah keputusan untuk meringankan hukuman Najib sebagai tahanan rumah.
C4 Center berkata, tidak sepatutnya ada rasa simpati terhadap jenayah besar yang dilakukan oleh Najib membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Mengulan lanjut, MCW ambil maklum pelbagai respon yang diterima oleh semua pihak berkenaan permohonan Najib itu.
Bagaimanapun Jais mengingatkan setiap pihak yang berkenaan
melihat isu ini dengan adil dan menghormati proses yang sewajarnya.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Datuk Seri Najib Razak memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah yang memaksa kerajaan dan enam pihak lain mengesahkan kewujudan titah adendum.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi, bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72, untuk meneruskan permohonan tersebut.
Ketika membacakan keputusan, Mohd Firuz memaklumkan bahawa mahkamah mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan merit semakan kehakiman diputuskan.