KUALA LUMPUR: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan yang telus dan adil terhadap seorang wartawan Malaysiakini yang ditahan kerana disyaki meminta suapan sebanyak RM20,000.
Wartawan tersebut didakwa meminta wang daripada seorang ejen bagi mengelakkan penerbitan artikel berkaitan kartel warga Pakistan yang menyeludup pekerja migran ke Malaysia.
Presiden MCW, Jais Karim, menekankan kepentingan etika kewartawanan dan mengingatkan pengamal media supaya mengelakkan rasuah yang boleh mencemarkan profesion kewartawanan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan sebelum ini menafikan bahawa penahanan itu berkaitan dengan artikel Malaysiakini.
Sebaliknya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menjelaskan bahawa tangkapan dibuat selepas wartawan berkenaan didakwa menerima rasuah daripada ejen pekerja migran.
Wang itu dikatakan sebagai bayaran bagi menghalang penerbitan dua artikel mengenai ejen terbabit.
Ejen berkenaan kemudiannya membuat laporan kepada SPRM, yang membawa kepada operasi penahanan.
Wartawan tersebut kini direman selama empat hari sehingga 4 Mac bagi membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Beveniyah R Jothi di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Sabtu.
Dalam kenyataannya, MCW menegaskan bahawa integriti kewartawanan adalah asas kepada kebebasan media, dan sekiranya dakwaan terhadap wartawan itu terbukti benar, ia akan mencemarkan imej profesion kewartawanan serta kepercayaan masyarakat terhadap media.
“Namun, MCW juga menekankan bahawa setiap individu berhak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Oleh itu, kami menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan yang menyeluruh dan tanpa prejudis,” kata Jais.
Beliau turut menyeru pengamal media supaya sentiasa berpegang kepada kod etika kewartawanan dan menghindari sebarang bentuk rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
“MCW akan terus memantau perkembangan kes ini dan berharap kebenaran dapat ditegakkan demi kepentingan awam serta integriti kewartawanan di Malaysia,” tambahnya.