MCMC Komited Naik Taraf Internet Di Kawasan Felda

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited untuk memperbaiki perkhidmatan Internet di kawasan Felda bagi memastikan kesalinghubungan digital di kawasan berkenaan dipertingkatkan, kata Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Felda yang baharu Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sini hari ini, beliau berkata pihaknya akan mengambil beberapa langkah penambahbaikan perkhidmatan itu demi pembangunan ekonomi penduduk di kawasan itu.

“Kita akan buat bengkel dengan kerjasama Felda dan kemas kini Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang lama selain akan bawa Internet 5G untuk sektor pertanian pintar,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata beliau berharap penambahbaikan capaian rangkaian Internet terutamanya 5G akan membantu melonjakkan ekonomi peneroka terutamanya generasi kelima Felda.

“Saya berkongsi rungutan penduduk Felda yang kebanyakan sekarang menggunakan rangkaian 4G, yang mana menunjukkan liputan penuh tetapi capaian Internet pula kurang memberangsangkan.

“Kita berharap dengan menaik taraf kepada rangkaian 5G yang lebih laju, ia dapat bantu membangun dan memasarkan lebih banyak produk penduduk tempatan (Felda) terutamanya menerusi media sosial seperti TikTok,” katanya.

— BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles