KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengeluarkan jawapan rasmi bagi menjelaskan tindakan yang diambil berhubung isu berkaitan agama, raja, dan kaum (3R) baru-baru ini.
Penjelasan itu merangkumi perbezaan tindakan dan hukuman yang dikenakan terhadap Maestra Broadcast Sdn Bhd, tiga penyampai radio Era, serta dua individu, Harith Iskander dan Cecelia Yap.
Menurut MCMC, siasatan telah dijalankan ke atas Maestra Broadcast Sdn Bhd berikutan aduan mengenai kandungan video yang didakwa menghina agama Hindu. Video tersebut dimuat naik di akaun TikTok rasmi “era.je” yang dikendalikan oleh syarikat itu.
Berdasarkan siasatan, Pejabat Peguam Negara telah memutuskan untuk mengenakan kompaun terhadap Maestra Broadcast Sdn Bhd.
MCMC menjelaskan bahawa pihak pengurusan tertinggi Maestra Broadcast Sdn Bhd telah dipanggil untuk memberi penjelasan mengenai insiden berkenaan. Syarikat itu juga dinasihatkan supaya memperketat kawalan kandungan serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Selepas mengambil kira impak kandungan tersebut terhadap ketenteraman awam, MCMC menetapkan kompaun sebanyak RM250,000 ke atas syarikat berkenaan. Untuk makluman, pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Mengenai notis penggantungan lesen, MCMC memutuskan untuk tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd selepas mempertimbangkan pelbagai faktor, termasuk penghujahan bertulis syarikat itu serta tindakan pembetulan segera yang telah diambil.
Antara langkah pembetulan yang diambil adalah permohonan maaf secara terbuka. Selain itu, penggantungan lesen berpotensi memberi kesan kepada stesen radio lain di bawah lesen yang sama, seperti Melody FM dan Mix FM.
MCMC turut menjelaskan perbezaan jumlah kompaun yang dikenakan terhadap Maestra Broadcast Sdn Bhd berbanding Harith Iskander dan Cecelia Yap.
Harith Iskander dan Cecelia Yap dikenakan kompaun RM10,000 kerana memuat naik kandungan serta komen yang dianggap jelik terhadap agama Islam di Facebook pada 18 Januari 2025.
Tindakan itu diambil berdasarkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2025, di mana denda maksimum yang boleh dikenakan ketika itu adalah RM50,000 atau penjara setahun, atau kedua-duanya sekali.
MCMC menegaskan bahawa tindakan yang diambil adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa pada waktu itu.