KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang membenarkan permohonan injunksi sementara dalam kes sivil melibatkan aplikasi Telegram.
Dalam satu kenyataan, MCMC memaklumkan bahawa perintah larangan sementara itu menghalang defendan termasuk pentadbir akaun Edisi Siasat, Edisi Khas serta pihak Telegram daripada menerbitkan, menyebarkan atau mengulang siar kandungan yang dipertikaikan seperti dinyatakan dalam tuntutan MCMC.
“Keputusan ini adalah selaras dengan mandat MCMC di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk melindungi kepentingan pengguna, selain memastikan platform digital tidak disalahgunakan,” kata kenyataan itu.
MCMC turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau pematuhan terhadap perintah mahkamah tersebut, manakala isu-isu lain berkaitan tindakan undang-undang berkenaan akan diputuskan pada perbicaraan penuh kelak.
“MCMC kekal komited memastikan ruang digital di Malaysia lebih selamat agar rakyat tidak terdedah kepada penipuan, kandungan berbahaya dan ancaman penyalahgunaan,” tambah kenyataan itu.
Sementara itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan injunksi sementara dalam kes sivil melibatkan aplikasi Telegram.
Hakim Mahazan Mat Taib mengeluarkan perintah larangan sementara yang menghalang pihak defendan termasuk pentadbir akaun Edisi Siasat, Edisi Khas serta Telegram daripada menerbitkan, menyebarkan atau mengulang siar kandungan yang dipertikaikan seperti dinyatakan dalam tuntutan MCMC.
Dalam penghakimannya, Mahazan berkata MCMC berjaya membuktikan bahawa Telegram terlibat dalam penyebaran kandungan ofensif yang menyasarkan agensi kerajaan, badan penguatkuasaan serta anggota pentadbiran, dan boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi awam serta menjejaskan ketenteraman sosial.
Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan MCMC untuk mendapatkan perintah bagi menghalang Telegram daripada membuka atau mengendalikan akaun baharu yang mungkin menyebarkan kandungan serupa, dengan alasan mahkamah tidak boleh memaksa platform berkenaan melakukan penapisan sendiri.
Perintah injunksi itu akan kekal berkuat kuasa sehingga kes saman MCMC terhadap Telegram selesai dibicarakan.
Mahkamah juga menetapkan 24 September ini untuk mendengar satu lagi permohonan MCMC bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding komital terhadap Telegram, berhubung dakwaan gagal mematuhi salah satu syarat injunksi ex-parte yang dikeluarkan pada 17 Julai lalu.
Dalam prosiding hari ini, MCMC diwakili peguam SN Nair dan Wong Guo Jin, manakala Telegram diwakili peguam Daniel Bock.