MCMC Ambil Tindakan Susulan Kesilapan China Press Terjemah Titah Agong

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti isu kandungan dalam talian China Press yang dikatakan mengandungi kesilapan terjemahan titah Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen, semalam.

Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, tindakan siasatan itu dibuat susulan aduan rasmi daripada orang awam. Proses siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang merangkumi penggunaan perkhidmatan komunikasi secara tidak wajar yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran awam, atau menjejaskan keharmonian.

Beliau menekankan bahawa jika terdapat laporan polis berkaitan perkara ini, ianya adalah proses berasingan dan diserahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

Fahmi turut menggesa Majlis Media Malaysia agar memastikan media tempatan mematuhi etika kewartawanan, serta menggalakkan pelaporan yang bertanggungjawab dan tepat.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak memberi komen melampau atau fitnah di media sosial, sebaliknya menghormati institusi raja dan memberi ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.

BBerkaitan

Latest articles