KUALA LUMPUR: Dewan Pengarah Syarikat Malaysia (MCCD) melantik Datuk Julita Ilhani Abdul Jabbar sebagai Pengerusi baharu, berkuat kuasa 11 November 2025, susulan pengaktifan semula dewan itu pada Oktober lalu.
Pelantikan tersebut dimuktamadkan dalam mesyuarat sulung MCCD bersama pembentukan struktur kepimpinan baharu, termasuk Amarution Nadaraja sebagai Timbalan Pengerusi.
Julita, yang berpengalaman luas dalam bidang perundangan, tadbir urus dan kepimpinan korporat, bakal memacu MCCD ke arah fasa transformasi lebih progresif.
Beliau komited menjadikan organisasi itu sebagai platform strategik yang menghimpunkan pengarah syarikat, pembuat dasar dan peneraju industri bagi memperkukuh inovasi, tadbir urus serta kemampanan sektor perniagaan tempatan.
Seiring misi memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS), MCCD turut mengumumkan penubuhan Majlis Bertindak PKS MADANI, sebuah gabungan strategik antara sektor awam dan swasta bagi menyelaras pelaksanaan dasar, mengukuhkan ekosistem keusahawanan serta memastikan manfaat ekonomi sampai terus kepada 1.2 juta PKS di negara ini.
Majlis berkenaan dijadualkan dilancarkan pada penghujung 2025 dan bakal menjadi pemangkin utama peningkatan daya saing, digitalisasi dan penyertaan PKS dalam ekonomi hijau.
Dengan pendekatan berasaskan aspirasi MADANI, MCCD menegaskan komitmen untuk membina landskap ekonomi lebih makmur, adil dan berdaya tahan, sambil memperkukuh peranan pengarah syarikat sebagai pemacu utama pertumbuhan negara.










