MCA Yakin Kerjasama UMNO-DAP Tak Akan Berlaku

Mengambil kira penolakan UMNO terhadap hasrat DAP untuk bekerjasama selepas tumbangnya kerajaan Perak beberapa bulan lalu, MCA melahirkan keyakinan bahawa kedua-dua parti berkenaan tidak akan bergabung di masa akan datang.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berpandangan kemungkinan untuk berlakunya kerjasama antara DAP dan UMNO adalah sangat tipis apatah lagi Majlis Tertinggi UMNO telah menyatakan enggan bekerjasama dengan DAP atau Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sesetengah orang dalam UMNO mungkin rasa sudah memadai kalau ada wakil kaum Cina, tetapi perjuangan UMNO dan DAP adalah berlainan.

“Mereka adalah musuh selama berdekad lamanya, DAP malahan berpendapat UMNO harus dihapuskan.

“Sekarang, mereka pula melihat UMNO sebagai satu harta dan perubahan ini tidak semesti mendapat persetujuan kaum Cina,” katanya seperti dipetik China Press.

Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan berkata UMNO mempunyai persepsi negatif mengenai DAP.

Antaranya selepas Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming mendakwa kerjasama UMNO dan PAS akan menjadikan Malaysia seperti Taliban.

Begitu juga dengan kritikan Setiausha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menuduh kerjasama kedua-dua parti berkenaan menerusi Muafakat Nasional (MN) umpama isyarat perang ke atas kaum bukan Muslim.

Latest articles

Related articles

spot_img