KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didakwa telah melanggar ketetapan Dewan Tertinggi BN apabila mempersembahkan maklumat tidak tepat kepada Yang di-Pertuan Agong.
Setiausaha Agong MCA, Datuk Chong Sin Woo berkata, isi kandungan surat bertarikh 22 November 2022 dengan menggunakan kepala surat BN yang ditandatangani Ahmad Zahid itu memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Sedangkan tegasnya, pendirian itu bertentangan dengan keputusan Dewan Tertinggi BN yang kekal berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak buat masa ini.
”Ditegaskan bahawa isi kandungan surat bertarikh 22 November 2022 dengan menggunakan kepala surat (letterhead) Barisan Nasional (BN) yang ditandatangani Pengerusi BN, YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, mengenai BN memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke 10, bukanlah keputusan yang dibuat secara konsensus dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 22 November 2022.
”Apa yang berlaku dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi, MCA dan parti-parti komponen BN telah mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid yang dilihat secara jelas bercanggah dengan apa yang diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN.
”Pada mulanya beliau cuba menafikan mengenai surat tersebut, namun mengakuinya selepas salah seorang anggota Dewan Tertinggi BN mengemukakan bukti sahih,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, atas apa yang berlaku ini, MCA menegaskan, Ahmad Zahid tidak lagi layak memimpin BN sebagai pengerusi dan sekali lagi menggesa Presiden UMNO itu meletakkan jawatan secara terhormat.
Katanya, tempat Ahmad Zahid wajar digantikan dengan Datuk Seri Mohamad Hasan seperti yang disarankan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi.